#PRNJohor: Anwar Terlalu Takut Kepada Mahathir

Oleh Megat Terawih

Hampir setiap hari Anwar keliling kampung masuk kedai kopi dan restoran Cina atau mamak semata-mata untuk berkempen.

Kempen Anwar hanya berlegar menyentuh isu yang sama, 1MDB dan ketirisan kerajaan serta masalah poket rakyat.

Walaupun semua maklum bahawa kes 1MDB sedang dibicarakan di US dengan adanya pendedahan baharu namun Anwar dilihat tidak berterus terang kepada orang kampung. Anwar nampak seperti terpaksa mengikut skrip Mahathir, menampakkan Dato Seri Najib Razak ‘kekal’ bersalah sedangkan yang terdedah adalah sebaliknya.

Isu kesusahan rakyat seperti gaji minima menjerut leher Anwar sendiri. Ramai yang hadir nampaknya lebih memahami putar belit Anwar masih sama seperti dahulu.

Tidak berpijak di bumi yang nyata malah jauh sekali memohon maaf kepada pengundi Johor. Pakatan Harapan menang pada pilihanraya umum ke 14 dan memerintah negara selama 22 bulan.

Kenapa sewaktu berkuasa Anwar yang turut bersama pakatan harapan dan isterinya Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak berbuat seperti yang beliau ucapkan sekarang?

Satu perkara yang jelas, Anwar tidak lagi menyerang Mahathir seperti dahulu. Tiada lagi kedengaran bahawa “Mahathir takut saya naik jadi perdana menteri”. Kebiasaannya Anwar akan berceramah dengan nada yang amat marah tentang kekayaan luar biasa kesemua anak-anak Mahathir. Namun di pilihanraya negeri Johor, Anwar memilih menyerang Barisan Nasional dan bukan Pejuang walaupun parti milik Mahathir itu seteru mereka di pilihanraya ini.

Anwar kelihatan begitu berhati-hati berceramah dan amat takut ‘terserang’ Mahathir. Apa pula rahsia Anwar yang Mahathir pegang?

Bukan sahaja Pejuang, parti lain seperti Perikatan Nasional dan MUDA juga bertembung dengan PKR di beberapa kerusi DUN tetapi Anwar sedikit pun tidak menyelar mereka di dalam ceramahnya.

Ada sumber mengatakan, kesemua mereka ini asalnya dari pakatan harapan. Di Johor mereka mengatur strategi kononnya berlainan parti namun akhirnya akan bergabung untuk tubuhkan kerajaan.

Bukan sahaja Anwar dan PKR yang nampak begitu ghairah membawa isu 1MDB dan Najib Razak. Kesemua parti selain Barisan Nasional senada membawa isu yang sama. Isu yang diorkestra oleh Mahathir yang mereka mainkan bersama dan ironinya semakin kuat mereka merekayasa fitnah terhadap Najib Razak yang terkenal dengan jolokan ‘Bossku’ semakin ramai rakyat yang datang ingin melepaskan rindu terhadap beliau.

Tidak puas memfitnah di pentas ceramah. Mereka ‘berkempen’ di dalam parlimen dengan isu yang sama. Senada dan semakin jelas bukti bahawa mereka semuanya sedang berlakon di hadapan rakyat Johor.

Bangsa Johor sedang ditipu oleh pakatan harapan 2.0.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker