Populasi penduduk paling ramai kini milik India bukan lagi China

BANDAR RAYA NEW YORK – India akan mengatasi China sebagai negara berpenduduk paling minggu ini dengan populasi mencecah 1.43 bilion orang, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Menjelang akhir bulan ini, populasi India dijangka mencapai 1,425,775,850 orang sekali gus menyamai dan seterusnya mengatasi penduduk tanah besar China,” kata Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial PBB kelmarin. Data bagi China itu bagaimanapun tidak termasuk Taiwan, Hong Kong atau Macau.

Minggu lalu, laporan tahunan penduduk dunia oleh PBB, State of World Population menyebut bahawa pencapaian tersebut akan berlaku menjelang pertengahan tahun ini.



Keadaan itu didorong oleh pertumbuhan pesat India dari segi populasi dan kemerosotan penduduk China selepas merekodkan seramai 1.426 bilion penduduk tahun lepas.

China kekal negara paling ramai penduduk di dunia sejak kejatuhan Empayar Rom pada abad ke-5 lagi, namun populasinya diramal berkurangan secara berterusan kepada sekitar satu bilion orang menjelang akhir abad ini, demikian menurut PBB.

PBB menambah, populasi India ‘hampir pasti’ terus meningkat pada dekad akan datang.

Unjuran PBB menyaksikan penduduk India mencecah 1.5 bilion orang menjelang pertengahan abad ini meskipun beberapa pegawai berkata, angka sebenar mungkin lebih rendah atau lebih tinggi.



Menurut laporan sama, kemerosotan bilangan penduduk China itu didorong oleh dasar satu keluarga satu anak yang telah ditamatkan pada 2016.

Selain itu, peningkatan kos sara hidup dan pertambahan bilangan wanita yang bekerja serta melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi menyumbang kepada situasi tersebut.

Tahun lalu, kadar kesuburan China menurun kepada 1.2 kelahiran bagi setiap wanita sekali gus antara kadar terendah di dunia. Bagi India pula, kadar kesuburan adalah 2.0 kelahiran bagi setiap wanita.

“Kedua-dua negara ini mempunyai tahap kesuburan hampir sama iaitu di bawah enam kelahiran bagi seorang wanita pada 1970,” kata Pengarah Bahagian Populasi dan Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial, John Wilmoth.



Menjadi negara paling ramai penduduk akan memberikan cabaran kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narenda Modi termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia yang memasuki alam pekerjaan saban tahun. – AFP

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker