Kelangsungan Majlis Presiden PN bergantung pada pengagihan kerusi

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, memberitahu kerjasama Umno dan BN dalam Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang banyak bergantung kepada bagaimana isu pengagihan kerusi diselesaikan.

Kenyataannya itu dibuat selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan Majlis Presiden PN yang terdiri daripada parti-parti dalam kerajaan malam tadi.

Mengingatkan sekali lagi bahawa Umno dan BN bukan sebahagian daripada PN, Asyraf Wajdi berkata dengan adanya majlis presiden tersebut perbincangan mengenai agihan kerusi tidak lagi sama seperti sebelum ini.

“Ini bermakna pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan Umno dengan PAS, tetapi di antara BN dengan PN, kerana PAS sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponennya,” kata Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, parti dalam kerajaan mencapai kata sepakat untuk menubuhkan majlis presiden yang dianggotai ketua-ketua parti masing-masing dengan tujuan menjadikan badan itu sebagai platform membincangkan dasar-dasar kerajaan.

Ia juga diharap dapat mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan. Antara yang terlibat ialah Presiden Umno merangkap Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Asyraf Wajdi penyertaan itu bukanlah bermaksud Umno dan BN kini mengubah pendiriannya dengan menyertai PN.

Seteru Sehingga Penghujung, Hubungan Mahathir Anwar Mustahil Diperbaiki

“Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Tertinggi BN membuat keputusan jelas bahawa kita mendukung kerajaan PN sehingga PRU ke-15 dan tidak sesekali bersetuju menyertai PN sebagai salah satu parti komponen,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata penubuhan majlis presiden itu memang dicadangkan sendiri oleh Umno sejak awal lagi, iaitu ketika pembentukan kerajaan PN pada Mac lalu.

“Tujuannya untuk memastikan apa jua dasar-dasar penting negara dibincangkan terlebih dahulu dengan rakan-rakan kongsi yang terdiri daripada parti-parti politik yang bersepakat membentuk kerajaan ini.

“Majlis Presiden PN mampu mengelakkan perbezaan dan pertelingkahan pandangan terhadap dasar-dasar penting yang diperkenalkan kerajaan seperti inisiatif mahukan pengisytiharan darurat yang tidak dirujuk kepada Umno hingga mencetuskan pergeseran di kalangan parti-parti dalam kerajaan PN,” katanya.

Dia berkata, majlis presiden itu juga boleh dijadikan platform untuk presiden-presiden parti yang mendukung PN menyuarakan pendirian parti secara rasmi supaya ia dipertimbangkan dan kerajaan PN dapat bertindak.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker