Imigresen rugi lebih RM81 juta tak kenakan penalti

Sebaran :

Imigresen rugi lebih RM81 juta tak kenakan penalti

Kelemahan pemantauan dan perjanjian tidak jelas menyebabkan Jabatan Imigresen (JIM) kerugian RM81.69 juta berikutan penalti yang tidak dikenakan terhadap sebuah syarikat mengendalikan kutipan hasil Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara dalam talian.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 yang dikeluarkan hari ini, JIM didapati tidak mengenakan penalti terhadap kelewatan serahan pelekat PLKS kepada pengguna berjumlah RM73.89 juta serta penalti kelewatan remitan dan kesilapan mencetak pelekat itu yang masing-masing berjumlah RM0.49 juta serta RM7.31 juta.

“Pengauditan yang dijalankan Bahagian Pekerja Asing dan Bahagian Kewangan di Ibu Pejabat JIM bagi tahun kewangan 2020 itu turut mendapati tuntutan caj perkhidmatan PLKS oleh syarikat perkhidmatan berjumlah RM25.94 juta juga belum dibayar kerana kelewatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memuktamadkan perjanjian tambahan,” menurut laporan itu.



Justeru, pihak audit mengesyorkan JIM melakukan penambahbaikan dan tindakan sewajarnya bagi memastikan syarat serta klausa perjanjian dipatuhi dan dikuatkuasakan demi menjamin kepentingan kerajaan.

“Sebarang pengecualian hendaklah mendapat kelulusan bertulis daripada pihak yang memberi kuasa dan JIM perlu mewujudkan mekanisme pemantauan secara berkala terhadap perkhidmatan disediakan syarikat berkenaan,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyebut pemantauan perlu dilakukan, terutamanya berkaitan pelekat PLKS yang rosak, lewat serah dan belum digunakan bagi memastikan ia diserahkan kepada pengguna dalam tempoh ditetapkan dan tidak disalah guna.

Selain itu, laporan berkenaan juga mengesyorkan KDN dan JIM memastikan perjanjian tambahan dimuktamadkan secepat mungkin bagi menjamin kepentingan kerajaan serta mengelakkan masalah pembayaran kepada syarikat terlibat.



“Tempoh perjanjian perkhidmatan secara dalam talian pembaharuan PLKS antara KDN dengan syarikat perkhidmatan berkenaan adalah dari Mei 2015 hingga Mei 2020 dan KDN mengemukakan permohonan perlanjutan perjanjian kepada Kementerian Kewangan pada 20 Mei 2020.

“Kementerian Kewangan pada 12 Jun 2020 meluluskan permohonan berkenan bagi tempoh tiga tahun mulai 23 Mei 2020 hingga 22 Mei 2023, bagaimanapun semakan audit mendapati perjanjian tambahan belum dimuktamadkan.” FMNT

Imigresen rugi lebih RM81 juta tak kenakan penalti


Sebaran :

Leave a Reply