Parlimen Tangga Batu Tumpuan PRN Melaka

Oleh Nurul Aisyah

KAWASAN Parlimen Tangga Batu mula dipertandingkan pada 2004. Tangga Batu adalah sebuah bandar kecil berhampiran dengan pantai yang terletak dalam daerah Melaka Tengah. Parlimen ini dijangka panas dan menjadi tumpuan dalam PRN yang bakal berlangsung dalam masa terdekat sekiranya diluluskan kabinet.

Ianya menjadi kawasan parlimen (P136) bagi DUN Sungai Udang(N11), Paya Rumput(N13), Pantai Kundur(N12 dan Kelebang(N14). Tangga Batu terletak di tengah-tengah perjalanan Jalan 5 antara Bandar Hilir (15.8km) dan Pekan Masjid Tanah (14.7km).
 
Sebagaimana yang kita tahu, Ketua Menteri yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan merupakan antara empat ADUN yang menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali baru-baru ini.

Sebelum ini, komposisi Parlimen Tangga Batu terdiri dari dua ADUN UMNO, satu ADUN PKR dan satu ADUN PPBM. Apabila Idris Haron dan Nor Azman menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, keahlian mereka dalam UMNO dilaporkan sudah terlucut secara automatik.

Oleh itu, Parlimen Tangga Batu kini terdiri daripada dua ADUN bebas, satu ADUN PKR dan satu ADUN PPBM.

Hari ini, Datuk Seri Idris Haron, bertegas akan mempertahankan kerusi Sungai Udang jika PRN diadakan. Beliau  bersedia menghadapi cabaran Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad jika dia dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi berkenaan.

Idris berkata, beliau tidak akan lari daripada mempertahankan kerusi yang sudah dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (2013) dan PRU-14 (2018) itu.

Semalam Mohamad Ali mengeluarkan kenyataan bersedia mencabar Idris dalam PRN jika ia diadakan tidak lama lagi berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Mohamad Ali dilaporkan berkata, pertembungan beliau dengan Idris bakal menentukan siapa pemimpin politik yang diberikan kepercayaan oleh pengundi untuk memperjuangkan nasib mereka.

Beliau mendakwa, Idris sengaja memutarbelitkan pelbagai aspek semata-mata untuk mengelirukan anggota masyarakat.

Mohamad Ali juga mendakwa, Idris kecewa selepas tewas kepadanya dalam pemilihan UMNO Bahagian Tangga Batu pada 2018.

Begitu juga dengan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang didakwanya kecewa akibat kalah kepada Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah bagi merebut jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan.

Pada PRU-14 Idris yang ketika itu mewakili BN menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR) dengan majoriti 2,229 undi manakala Nor Azman (BN) menewaskan Juhari Osman (PKR) dan Abdul Halim Maidin (PAS) dengan majoriti 772 undi.

Parlimen Tangga Batu panas dari semalam walaupun PRN belum diumumkan secara rasmi. Bayangkan apabila PRN diumumkan kelak sekiranya kabinet meluluskan maka Parlimen ini pasti jadi tumpuan.

Tambahan pula, Dun paya Rumput yang sebelum ini diwakili Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen pasti turut menaikkan suhu politik memandangkan beliau merupakan Pengerusi PPBM Melaka. Kontroversi yang melibatkan beliau tidak kurang hebatnya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker