Siapakah Ejen Cukai?

Mereka yang memulakan perniagaan bertanggungjawab untuk mendaftar sebagai pembayar cukai.

Selepas itu perlu mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan dari cawangan LHDNM yang berhampiran.

Kemudian melengkapkan Borang B (Milikan Tunggal) dan Borang P (Perkongsian).

Serta menyediakan penyata akaun dan penyata lain-lain pendapatan seperti penyata sewa dan penyata komisen.

Sebab itu sebilangan peniaga menggunakan khidmat ejen cukai untuk membantu urusan tersebut.

Termasuk dalam penyediaan akaun dan pengisytiharan pendapatan kepada LHDNM kerana bimbang melakukan kesilapan.

Tetapi awas jangan tertipu dengan pihak yang mengaku ejen cukai sedangkan mereka tiada pertauliahan.

Seperti kes peniaga kerugian RM382,500 diperdaya lelaki yang menawarkan perkhidmatan percukaian pada Julai lalu.

Sebagai pembayar cukai wajar ambil tahu serba sedikit mengenai ejen cukai untuk mengelak daripada menjadi mangsa.

Secara umum ejen cukai turut tertakluk dibawah Seksyen 153(3) (b) dan (c) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kelulusan ejen cukai dikeluarkan bagi tempoh tiga tahun dan perlu diperbaharui empat bulan sebelum tamat tempoh.

Jadi kena pastikan juga ejen cukai yang dipilih mempunyai kelulusan yang masih sah tempoh seperti dinyatakan.

Seksyen 153(3) (b) dan (c) Akta Cukai Pendapatan 1967 menetapkan mereka yang layak menjadi ejen cukai seperti berikut:

1. Mempunyai kelulusan seperti di Jadual Pertama Bahagian I, Akta Akauntan 1967 dan lima tahun pengalaman praktikal selepas kelulusan dalam bidang percukaian pendapatan dengan kerajaan atau swasta.

2. Ahli kepada persatuan akauntan yang diiktiraf oleh kerajaan dengan lima tahun pengalaman praktikal selepas menjadi ahli persatuan dalam bidang percukaian pendapatan dengan kerajaan atau swasta.

3. Mempunyai kelulusan akademik di peringkat ijazah pertama dalam bidang perniagaan dan ekonomi daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang diiktiraf oleh kerajaan dan lapan tahun pengalaman selepas kelulusan dalam bidang percukaian pendapatan secara praktikal dengan kerajaan atau swasta.

4. Lulus dalam peperiksaan Kursus Lanjutan anjuran LHDNM dan lima tahun pengalaman praktikal dalam bidang percukaian pendapatan dengan kerajaan atau swasta.

5. Lulus dalam peperiksaan Kursus Permulaan anjuran LHDNM dan semasa bekerja dengan LHDNM berpangkat Pemeriksa ke atas serta 10 tahun pengalaman praktikal dalam bidang percukaian pendapatan dengan kerajaan atau swasta.

6. Seseorang yang telah lulus dalam Kursus Ejen Percukaian anjuran LHDNM (Skim Latihan Khas).

7. Ahli kepada Institut Percukaian Malaysia (MIT) dan lima tahun pengalaman praktikal dalam bidang percukaian pendapatan dengan kerajaan atau swasta.

8. Ahli kepada The Malaysian Institute Of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA) dan lima tahun pengalaman praktikal selepas menjadi ahli persatuan dalam bidang percukaian pendapatan dengan kerajaan atau swasta.

9. Ahli kepada Persatuan Setiausaha Syarikat Malaysia (MACS) yang mempunyai kelulusan akademik di peringkat ijazah pertama dalam bidang undang-undang daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang diiktiraf oleh kerajaan dan lima tahun pengalaman selepas kelulusan dalam bidang percukaian pendapatan secara praktikal dengan kerajaan atau swasta.

10. Ahli akademik yang mempunyai lima tahun pengalaman mengajar dalam bidang percukaian di peringkat diploma dan ke atas di mana-mana Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia serta mempunyai syarat kelayakan seperti di Jadual Pertama Bahagian I dan II Akta Akauntan 1967.

Semoga dengan pengetahuan ini dapat membantu kita daripada terjebak dengan ejen cukai yang tidak sah.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker