Arahan MKT Umno hanya caretaker tak sah

Arahan MKT Umno hanya caretaker tak sah, kata peguam

Pelbagai kenyataan dan arahan bercanggah ditujukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kepada Umno ketika ini memberi gambaran jelas bahawa institusi urus tadbir awam itu berada dalam cengkaman parti politik pemerintah, kata seorang peguam.

Haniff Kathri berkata, kenyataan terbaharu JPPM bahawa kepimpinan Umno kini hanya berjalan sebagai “caretaker’ adalah tidak sah selagi mereka tidak menghantar surat bertulis kepada Umno mengenai ketetapan badan itu terhadap surat maklum balas yang dihantar Umno semalam.

“Selagi tidak ada kenyataan bertulis yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPPM, perkara itu tidak sah. JPPM seharusnya turunkan perkara itu secara bertulis, terangkan apa yang dimaksudkan ‘caretaker’ kerana jika dibuat tanpa penjelasan lanjut, ia akan memberi tanggapan salah kepada pihak di sebelah sana (Umno).

“Kalau JPPM tetapkan bahawa rayuan Umno semalam ditolak, maka mereka perlu buat keputusan segera bukan beri kenyataan lisan terbuka,” katanya kepada FMT.

Katanya, tindakan JPPM membuat kenyataan lisan dan secara umum mengenai perkembangan terkini Umno seharusnya perlu dielakkan kerana agensi itu mempunyai peluang dan ruang untuk menjawab terus surat penjelasan yang dihantar oleh Umno semalam.

“Apakah kewajaran JPPM untuk buat kenyataan secara lisan di media? Jika mereka berpendirian surat Umno itu perlu diteliti, tidak perlu buat komen terbuka, barulah adil dan saksama.

“Ini bila JPPM kata kepimpinan Umno sekarang hanya sebagai ‘caretaker’, mereka sudah pun buat keputusan,” katanya.

Terdahulu, menurut laporan Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JPPM Jasri Kasim berkata, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno diketuai Presiden Ahmad Zahid Hamidi hanya boleh menjalankan kerja pentadbiran parti sehingga selesai pemilihan dan perhimpunan agung Umno 2021 dijalankan.

Jasri berkata, JPPM sudah menerima surat penjelasan daripada Umno semalam berhubung keputusan penangguhan pemilihan selama 18 bulan dengan pihaknya berpandangan sebelum ini sebagai tidak sah memandangkan keputusan penangguhan itu dibuat selepas tamat tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 pada 30 Jun lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti dengan terperinci surat penjelasan yang diterima terlebih dahulu kerana Umno ada mengemukakan maklumat baharu.

Mengulas lanjut, Haniff berkata, jika terdapat keperluan untuk menggantung sementara Umno kerana merasakan parti itu melakukan pelanggaran undang-undang pertubuhan, JPPM seharusnya berbuat demikian di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966, iaitu menggantung sementara Umno sehingga semua krisis ini selesai.

“Tetapi kenapa sehingga hari ini belum ada surat penggantungan? Adakah JPPM patuh pada undang-undangnya sendiri?,” soalnya.

Sementara itu, pakar undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Khairil Azmin Mokhtar menegaskan krisis dihadapi Umno dan JPPM perlu dihormati oleh semua pihak tanpa ada sebarang tekanan.

“Kehendak kedua-dua belah pihak perlu dihormati dengan menunggu penjelasan lebih lanjut daripada mereka bagi mengelakkan salah faham,” katanya.

Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan terbaharu JPPM itu, pimpinan Umno sedia ada mempunyai kuasa amat terhad dan hanya boleh membuat pengurusan “administrative” atau pentadbiran biasa parti.

“Bermakna kuasa kepimpinan yang ada tidak boleh melangkaui pentadbiran rutin dan menyentuh perkara-perkara yang menjadi dasar parti serta keputusan penting,” jelasnya.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


JPPM pada Ahad lalu menyarankan Umno mengadakan pemilihan parti selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini dan pemilihan hanya dibenarkan ditangguhkan sebelum 31 Disember, dengan parti tersebut perlu mengemukakan permohonan penangguhan kepada JPPM dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan kronologi itu, MKT Umno mula memutuskan penangguhan pemilihan parti tahun ini pada 19 Februari lalu, sebelum merujuknya kepada JPPM, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) antara 27 April dan 24 Mei.

Pada 18 Jun lalu, 52 daripada 56 ahli MKT Umno secara resolusi edaran bersetuju menangguhkan pemilihan parti kerana tidak pernah melaksanakannya secara maya.

Susulan itu, Setiausaha Agung Umno menghantar surat memaklumkan keputusan MKT Umno kepada JPPM pada 24 Jun, enam hari sebelum tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 berakhir.

Pada 7 Julai, MKT Umno mengabsahkan penangguhan pemilihan parti yang diputuskan pada 18 Jun, sebelum Umno menerima surat Ketua Pengarah JPPM pada 19 Julai, memaklumkan jabatan itu tiada halangan mengenai penangguhan berkenaan yang dibuat mengikut Perkara 10.16 Perlembagaan Umno. FMT

Arahan MKT Umno hanya caretaker tak sah

Ada ramai calon ganti MP ingkar arahan MT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker