Apa jadi dengan kes Tajuddin, Xavier

Apa jadi dengan kes Tajuddin, Xavier, SPRM ditanya

Dua kumpulan anti-rasuah mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan perkembangan terbaharu siasatan kes membabitkan dua Ahli Parlimen, Tajuddin Abdul Rahman dan Xavier Jayakumar.

Transparency International Malaysia (TI-M) berkata, menjadi keutamaan agensi berkenaan memberi maklum balas perkembangan siasatan kes terbabit, lebih-lebih lagi sebelum ini, SPRM mengesahkan siasatan terhadap Xavier, manakala Tajuddin pula pernah ditahan.



Presidennya, Muhammad Mohan ketika memberitahu FMT berkata, SPRM sepatutnya mengelak tanggapan negatif awam yang berpandangan kes membabitkan kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan boleh dibersihkan sekiranya menyokong kerajaan memerintah.

“Adalah penting kepada SPRM meningkatkan imejnya dalam kalangan masyarakat. Dalam dapatan Barometer Rasuah Global Transparency International 2020, menunjukkan penarafan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap SPRM adalah 74%.

Ini boleh ditingkatkan sekiranya SPRM secara kerap berhubungan dengan masyarakat awam dan melaksanakan amanah tanpa takut dan pilih kasih. Bagaimanapun, pendirian mendiamkan diri dan tidak memaklumkan perkembangan siasatan itu mampu menjurus kepada defisit kepercayaan tentang kebebasan agensi itu,” katanya.

Satu lagi badan anti-rasuah, Pusat untuk Melawan Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, SPRM mesti berterusan melaksanakan amanah secara bebas, terutama ketika akauntabiliti agensi itu berada pada tahap terendah.



Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata, SPRM juga perlu melawan campur tangan politik, sambil merujuk kepada skandal 1MDB yang sebelum ini secara langsung mendapat campur tangan daripada pihak Eksekutif di agensi berkenaan.

“SPRM sekurang-kurangnya perlu memberi maklum balas maklumat siasatan kes membabitkan Xavier, Tajuddin dan beberapa orang lagi, dan bukan sekadar menunggu untuk bertindak selepas mereka tidak mempunyai kuasa,” katanya kepada FMT.

Feb lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, mengesahkan Xavier disiasat susulan penangkapan pembantu dan rakan baiknya, MA Tinagaran, seminggu sebelum itu. Ahli Parlimen Kuala Langat itu keluar PKR dan mengumumkan sokongannya terhadap kerajaan pada 13 Mac lalu.

Sejak daripada itu, tiada perkembangan terbaharu dilaporkan SPRM.



Tajuddin pula ditahan SPRM pada 28 Mei atas dakwaan salah guna kuasa. Beliau kemudian dibebaskan dengan jaminan pada hari sama.

Dalam pada itu, Mohan turut menyokong gesaan membabitkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi pembaharuan Pejabat Peguam Negara, seperti dicadangkan bekas menteri undang-undang Azalina Othman Said.

Beliau berkata, kunci utama kepada pembaharuan berkenaan adalah pengasingan kuasa Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan daripada tugasnya sebagai Pendakwa Raya, demi mengelak konflik berkepentingan.

“Pengumuman kerajaan mahu mengasingkan dua peranan ini sangat dialu-alukan dan perlu mendapat sokongan daripada kedua-dua pihak kerajaan mahupun pembangkang.



“Namun, ahli dalam RCI perlulah daripada kalangan dihormati dan bebas. Mereka boleh dipilih daripada Majlis Peguam atau terdiri daripada bekas hakim.

“Sekiranya kredibiliti ahli RCI berkenaan boleh dipertikai, pastinya dapatan hasil RCI tidak diterima oleh orang awam,” katanya. FMT

Apa jadi dengan kes Tajuddin, Xavier


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


https://mykmu.net/2021/07/26/pm-cirit-birit-boleh-umum-kenapa-ordinan-darur

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker