Penganalisa persoal Mageran Mahathir boleh atasi krisis
Seorang penganalisis berwaspada dengan cadangan penubuhan Majlis Gerakan Nasional (MAGERAN) Dr Mahathir Mohamad kerana hakikatnya kumpulan pakar bidang yang dicadangkan untuk dilantik Yang di-Pertuan Agong ke badan eksekutif itu tidak perlu menjawab kepada pengundi.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata cadangan Mahathir itu tidak ada mekanisme untuk mengawal pakar lantikan berkenaan atau mempertanggungjawabkan mereka atas sebarang kegagalan.
“Wakil rakyat akan dihukum oleh pengundi jika gagal memainkan peranan sedangkan yang dilantik sebagai pakar itu ‘bebas datang dan pergi’ tanpa perlu bertanggungjawab kepada pengundi,” katanya kepada FMT.
Beliau juga memberi amaran badan eksekutif seperti MAGERAN Mahathir yang mengetepikan wakil pilihan rakyat melemahkan demokrasi.
“Tanpa pembabitan ahli politik secara langsung ini sebenarnya menghakis mandat rakyat dalam demokrasi. Yang bertanggungjawab ialah wakil rakyat yang dipilih secara sah,” katanya.
Berdasarkan temubual Mahathir dengan FMT, hanya seorang ahli politik menganggotai dan mengetuai badan pakar lantikan yang akan menguasai kerajaan itu. Belum dipastikan siapa yang akan menentukan dan mencadangkan calon pakar untuk dilantik Agong.
Pertama sekali, adakah kerajaan sudah lumpuh?
Azmi Hassan, seorang pakar geostrategi, berkata MAGERAN Mahathir hanya relevan sekiranya kerajaan sedia ada sudah “lumpuh” atau tidak berfungsi, namun dua perkara itu gagal ditonjolkan.
Di sebalik tekanan dan asakan pihak yang mempersoalkan keabsahan kerajaan, Azmi tertanya adakah kita benar-benar terdesak untuk menubuhkan MAGERAN.
“Belum lagi sampai ke tahap itu cuma kerajaan sedia ada perlu melakukan perubahan dari segi strukturnya supaya lebih efisien.
“Jika ia tidak dipersetujui, kerajaan baharu boleh dibentuk melalui suara wakil rakyat dalam sistem Parlimen, seperti mana yang dilakukan oleh Itali pada Februari,” katanya.
Banyak mana penjimatannya?
Shamrahayu Abdul Aziz dari Universiti Teknologi Mara meragui dakwaan MAGERAN Mahathir tanpa darurat akan menjimatkan wang kerajaan kerana kewujudan Jemaah Menteri perlu dalam keadaan normal.
Tanpa darurat, “Jemaah Menteri perkara yang wajib diadakan dalam amalan bernegara seperti dinyatakan dalam Perlembagaan,” katanya kepada FMT.
Awang Azman juga tertanya kerana proses membaiki ‘kerosakan’ yang didakwa berlaku dalam pemerintahan sekarang tentu akan menambah beban kewangan.
“Lebih-lebih lagi MAGERAN melibatkan kepakaran dan tak semua mereka setuju ini merupakan khidmat untuk negara – tak perlu berbayar kecuali elaun kerana bersifat idealisme dan utopia,” katanya.
Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata penjimatan boleh dilakukan dengan mengurangkan beban kewangan kerajaan semasa dan tugaskan semua anggota Jemaah Menteri bekerja.
Mahathir dalam temubualnya percaya cadangannya boleh menjimatkan wang kerajaan kerana ia mengurangkan bilangan menteri dan timbalan daripada 72 orang sekarang. Tiada butiran mengenai nasib penjawat awam di kementerian-kementerian sedia ada.
Pakar MAGERAN Dr M lebih faham negara?
Salawati berkata MAGERAN Mahathir itu nampak bagus “atas kertas”, namun untuk melaksanakannya, pakar yang dilantik untuk menerajui sistem pentadbiran perlu faham tentang mentadbir dan mengurus negara.
“Adakah mereka faham tentang perjalanan negara? Mungkin pakar itu bagus dalam bidang mereka tetapi untuk mengendalikan politik (dan) birokrasi negara tidak mudah dan bukan semua boleh lakukan,” katanya.
Salawati berkata pentadbiran kerajaan perlukan orang politik kerana golongan itu lebih memahami ‘perjalanan’ mengurus negara serta berpengaruh dalam kalangan rakyat.
Setakat ini, katanya, tiada parti politik yang menyambut usaha bekas perdana menteri itu untuk menubuhkan MAGERAN.
Shamrahayu pula berkata hasrat menggantikan pemimpin pilihan dengan pakar lantikan sukar dilaksanakan, kerana peranan wakil rakyat unsur penting bagi negara yang mengaku mengamalkan demokrasi.
“Pemimpin melalui sistem parti politik atau demokrasi ini perlu ada,” katanya.
Beliau bersetuju sekiranya MAGERAN Mahathir itu berjalan serentak dengan Jemaah Menteri.
“Jemaah Menteri yang dianggotai Ahli Parlimen mewakili demokrasi. Mereka wakil rakyat,” katanya.
Kedudukan pakar
Shamrahayu mengingatkan MAGERAN yang ditubuhkan Tunku Abdul Rahman pada 1969 tidak mengambil tempat kerajaan. Katanya, ketika itu MAGERAN dan kerajaan adalah entiti lain.
“MAGERAN bukan satu-satunya mekanisme pentadbiran walaupun MAGERAN mempunyai kuasa yang luas,” katanya.
“Walaupun penting untuk pakar bidang berada dalam sebuah majlis yang ditubuhkan khusus untuk bagi satu tujuan, dalam konteks semasa, memerangi wabak Covid-19, namun, pentadbiran negara memerlukan perkara-perkara lain yang perlu diurus.”
Azmi pula berkata sebenarnya kepakaran sudah ada dalam sistem penjawat awam.
“Bergantung kepada kerajaan sedia ada untuk guna atau tidak,” katanya.
Salawati berkata sewajarnya pakar bidang diundang untuk membantu dan membentuk kementerian.
“Itu lebih baik daripada lantik orang baharu (untuk terajui sistem pentadbiran),” katanya.
Sedalam mana akses Parlimen?
Meskipun Mahathir mendakwa MAGERAN yang dicadangkannya akan diawasi Parlimen, Shamrahayu berkata “sama ada Parlimen mempunyai akses atau tidak kepada keputusan MAGERAN, cadangan Mahathir memerlukan lebih banyak perincian.”
Salawati berpandangan Parlimen tidak boleh dikekang oleh kerahsiaan, kerana sifat sebenar krisis semasa tidak seperti semasa 13 Mei 1969.
“Sekarang negara kita bukan dalam keadaan huru-hara macam 13 Mei disebabkan pergaduhan kaum, tapi ia lebih kepada krisis kesihatan,” katanya.
“Jadi segala perkara yang ingin dilakukan dan pelaporan perlu diketahui wakil rakyat di Parlimen.”
MAGERAN cuba selesai masalah sokongan kepada kerajaan?
Sementara itu, bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain, tertanya apakah masalah politik yang cuba diselesaikan oleh MAGERAN Mahathir itu.
Beliau berkata MAGERAN 1969 ditubuhkan untuk menyelesaikan konflik antara kaum, dan bukannya untuk menyelesaikan masalah parti-parti politik yang tidak ada sokongan majoriti secukupnya di Parlimen.
Atory berkata penubuhan MAGERAN untuk selesaikan ‘konflik’ politik semasa “memang tak kena dan tak sesuai sebenarnya”.
“Kita bukan bergaduh antara kaum macam 1969. Masalah politik sekarang hanya mampu diselesaikan dengan pilihan raya,” katanya kepada FMT.
Dalam wawancara bersama FMT, Mahathir berkata badan mirip MAGERAN yang dicipta pada 1969 itu akan disertai oleh sekumpulan pakar yang mampu membawa negara keluar daripada pelbagai kemelut akibat pandemik Covid-19.
Walaupun peranan ahli politik diminimumkan dalam majlis itu, namun segala tindakan badan yang dicadangkan bekas perdana menteri itu akan bertunjangkan prinsip demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.
Mahathir mendakwa, Malaysia amat memerlukan majlis khas itu untuk menangani empat krisis besar – kesihatan, ekonomi, politik, sosio-ekonomi dan pendidikan, yang kini menyelubungi negara.
Beliau membentangkan cadangan penubuhan badan itu kepada Yang di-Pertuan Agong pada 10 Jun. Bagaimanapun, Pakatan Harapan, PAS, Umno, dan Bersatu menolak cadangan berkenaan. FMT
Penganalisa persoal Mageran Mahathir boleh atasi krisis
Baca Artikel Menarik :
- Ditahan kerana halang tugas polis, keluar kata kesat
- Tak seksi pun, biasa jer kata Lizzy
- Reman pegawai polis disyaki rogol tahanan wanita disambung 3 hari
- Aishah Pertahankan Kenyataan Prof Muhaya?..“Bukan Jadi Betul-Betul Bodoh Pun 🤭🤭 ”
- Resepi Daging Dendeng Berlada Minang
- Resepi Kayangan Gratinated Baked Potatoes
Layari Laman Facebook MYKMU NET
You must be logged in to post a comment.