Mahu beroperasi ketika PKP penuh? Mohon di pusat sehenti Miti

Sebaran :


Perniagaan dan sektor dibenarkan beroperasi semasa sekatan penuh perlu memohon melalui pusat sehenti dikendalikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, pusat itu akan mengeluarkan surat kebenaran bagi mereka yang disenaraikan sebagai perlu untuk beroperasi selepas mendapat pengesahan daripada kementerian yang mengawasi sektor berkaitan.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata setiap kementerian akan mengeluarkan surat kepada perniagaan bawah bidangnya.



Sementara itu, permohonan kebenaran pekerja untuk melakukan perjalanan semasa PKP penuh perlu dikemukakan melalui Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0, yang juga akan melibatkan kementerian yang berkaitan.

Kementerian terbabit akan mengawasi 17 sektor perkhidmatan disenaraikan sebagai perlu sepanjang tempoh dua minggu PKP penuh, yang bermula esok.

Dalam kenyataan, MKN berkata ia diputuskan dalam mesyuarat mengenai keadaan Covid-19 semasa yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini.



Sektor perniagaan bingung dan kecewa ketika mereka tercari-cari agensi yang perlu dihubungi untuk mendapatkan kebenaran bagi pekerja melakukan perjalanan semasa sekatan penuh.

Ismail berkata surat kebenaran yang dikeluarkan oleh MITI untuk perjalanan berkaitan pekerjaan bawah PKP sebelum ini tidak lagi terpakai esok, di mana kementerian berkaitan akan mengeluarkan surat baharu.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh sebelum ini pernah membangkitkan bahawa sehari sebelum “lockdown”, pengusaha restoran masih belum mengetahui dengan siapa mereka boleh mendapatkan kebenaran.



Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, menyarankan kementerian berkenaan menggunakan sistem CIMS 3.0 MITI untuk mengeluarkan surat kebenaran bagi pekerja melakukan perjalanan, dengan menggunakan kepala surat kementerian masing-masing.

Beliau berkata, kelulusan untuk sektor bukan pembuatan kemudian boleh dikeluarkan oleh kementerian masing-masing dengan fungsi MITI hanya sebagai fasilitator. FMT

SOP ketika lockdown


Sebaran :

Leave a Reply