‘Pemburu’ Dan ‘Peminat’ Nombor Pendaftaran
Siapa kata nombor pendaftaran universiti tidak menarik dan tidak laku?
Bagi Wan Ahmad Ikram Wan Mohamed, 33, selaku pengumpul tegar nombor pendaftaran kenderaan, apa yang dilihat orang lain tidak semestinya sama dengan pandangannya.
“Sebulan lalu, saya bida dan menang nombor pendaftaran kenderaan keluaran Universiti Malaya (UM) UM1771.
“Jika dirapatkan, ia menjadi UMMI. Dalam Malaysia, hanya saya seorang yang memiliki UMMI,” katanya.
Menurutnya yang berasal dari Kuala Kubu Baru, Selangor, nombor pendaftaran itu dipasang pada motosikal klasiknya.
Katanya, jika ada yang berminat untuk membeli UMMI, dia tiada masalah untuk menjualnya.
“Mungkin jika ada sesiapa yang bernama Umi seperti artis dan sebagainya, ia sesuai buat mereka,” katanya.
Pada masa sama, Wan Ahmad Ikram turut memiliki nombor pendaftaran Universiti Tun Hussin Onn (UTHM).
“Apabila nombor pendaftaran kenderaan UTHM dikeluarkan, saya dapati ada beberapa daripadanya yang cukup unik.
“Saya beli UTHM4172. Jika dirapatkan, ia berbunyi UTHMAN 2,” katanya.
Kata Wan Ahmad Ikram, UTHM4172 kini milik individu lain yang membelinya kerana nama anaknya yang hampir sama bunyinya.
“Saya masih menyimpan UTHM4173, 4174, 4177 dan 4178. Jika mahu dijual, semuanya bermula pada harga RM5,000.
“Saya tidak menjual pada harga tinggi. Sebagai pengumpul nombor pendaftaran, saya akan gunakan wang jualan untuk membeli nombor pendaftaran lain pula,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, dia masih menunggu untuk membeli nombor pendaftaran universiti lain.
Nikmat miliki nombor 2 digit
‘Pemburu’ nombor pendaftaran kenderaan, sama ada kereta atau motosikal sanggup membeli motosikal sudah berkarat dan tidak berfungsi semata-mata mahukan nombor pendaftarannya.
“Bukan motosikal yang dicari sebaliknya nombor pendaftaran dua digit pada jentera berkenaan.
“Upah dimohon juga berpatutan dan ia semua lebih kepada kepuasan bagi individu seperti kami.
“Ini kerana, nombor dua digit seperti itu mendatangkan kenangan kepada pemilik barunya,” kata pemburu nombor pendaftaran kenderaan, Amirul Che Mat, 26.
Amirul, berasal dari Cheras berkata, nombor pendaftaran ini boleh dikategorikan kepada tiga iaitu nombor semasa, nombor klasik serta nombor istimewa.
Katanya, nombor semasa boleh dibida dan ada pihak yang sanggup membayar berapa saja jumlahnya semata-mata untuk mendapatkan nombor idaman.
“Bidaan ini sukar diramal kerana sesiapa saja boleh memenanginya namun bagi individu yang mahukannya, mereka tidak kisah dengan harga bidaan, yang penting mereka memperolehnya,” katanya.
Bagi nombor klasik, ia membabitkan satu huruf serta satu digit.
“Saya pernah mendapatkan nombor pendaftaran dua digit buat beberapa peminatnya. Harganya mencecah ratusan ribu ringgit kerana nombor ini keluaran 1960-an atau 1970-an.
“Biasanya, pembelinya terdiri daripada kalangan mereka yang lahir pada tahun berkenaan selain terbabit dengan perniagaan,” katanya.
Menurut Amirul yang terbabit dalam bidang ini sejak empat tahun lalu, kategori nombor istimewa juga turut mendapat tempat dalam kalangan pengguna kenderaan ketika ini, khasnya membabitkan generasi muda.
“Contoh nombor istimewa ialah JUL14 dan jika dibaca, ia berbunyi Julia. Ada juga AKM487, jika dibaca, ia berbunyi Akma manakala 87 adalah tarikh lahir pengguna nombor ini.
“Saya juga memiliki nombor pendaftaran istimewa iaitu ABC25 yang bermaksud Amirul Che Mat, ia keluaran 1970-an dan dibeli terus daripada pemilik asal,” katanya.
Amirul juga memiliki dua lagi nombor pendaftaran khasnya untuknya iaitu ABG25 bermaksud Abang 25 dan MDK25 bermaksud Mok 25.
Menurut Amirul, ada yang berminat untuk mendapatkan nombor pendaftaran ABC25 berkenaan pada harga minimum RM15,000 namun dia menolaknya dengan baik.
“ABC25 lebih kepada kepuasan diri sendiri serta nilai sentimental. Kerana itu ia bukan untuk dijual,” katanya.
Menurut Amirul, usaha untuk mendapatkan nombor pendaftaran seperti yang dipohon oleh pembeli juga memerlukan masa serta ketelitian.
Katanya, dia serta rakan sanggup ke pelosok kampung serata negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak selain Kedah untuk mendapatkan nombor pendaftaran dicari.
“Apabila ada permohonan, kami akan berusaha bertanyakan kepada sahabat di beberapa negeri berkaitannya.
“Kami juga perlu mendapatkan maklumat berkaitan pemilik bagi kenderaan tahun tertentu untuk memudahkan pencarian,” katanya.
Menurut Amirul, tugas itu memang memakan masa namun apabila kenderaan dapat dikesan, ia menjadi semakin mudah.
“Kami akan terus bertemu dengan pemilik kenderaan dan memohon untuk membeli nombor pendaftaran berkaitan.
“Biasanya, kami beli sekali dengan kenderaan kerana seperti motosikal, ia biasanya sudah tidak lagi digunakan malah berkarat di simpan di belakang rumah dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, jika masih dalam keadaan agak baik, kenderaan atau motosikal seperti Honda C70 akan dibaik pulih dan dijual semula kepada individu berminat, tanpa nombor pendaftaran asal.
Jual beli cecah RM20 juta
Ada ramai ‘pemburu’ nombor pendaftaran kenderaan di Malaysia namun hanya ada seorang saja layak digelar ‘raja nombor pendaftaran’ dan ia milik Nazri Mamat, 45, yang sudah berjual beli dagangan ini berjumlah kira-kira RM20 juta sejak 10 tahun lalu.
“Saya hanya terbabit berjual beli nombor pendaftaran vintaj saja. Nombor baharu yang sedia untuk dilepaskan ialah AL1 pada harga RM1.2 juta.
“Setakat ini, ada tawaran RM850,000 dan RM800,000 namun saya masih menyimpan AL1,” katanya.
Menurutnya, dia mendapatkan AL1 daripada ‘seseorang’ di Ipoh, Perak kira-kira tiga tahun lalu.
Sebagai pengumpul nombor pendaftaran vintaj, Nazri berkata, satu lagi nombor pendaftaran yang mahu dijual ialah N4 yang turut dibelinya daripada seseorang di Negeri Sembilan.
“N4 ini saya jual pada harga RM980,000. Ada juga tawaran namun saya masih simpannya hingga kini.
“AL1, jika saya tidak silap, ia keluaran tahun 1960-an. Bagaimanapun, N4 lebih lama iaitu tahun 1930-an jika tidak silap,” katanya.
Menurut Nazri atau lebih mesra dipanggil Rie, dia terbabit menjual dan membeli lebih 5,000 nombor pendaftaran vintaj sejak berkecimpung dalam bidang berkenaan.
“Ia memberikan banyak kepuasan kepada saya. Nombor pendaftaran vintaj ini tidak diperoleh dengan mudah malah saya perlu ke kampung atau pedalaman untuk mendapatkannya.
“Biasanya, nombor ini milik moyang atau datuk sebelum diwariskan kepada anak atau cucu. Jika ada keluarga yang memerlukan wang, mereka sanggup menjualnya dan saya juga membelinya pada harga tinggi,” katanya.
Menurut anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini, setiap nombor pendaftaran dibeli daripadanya turut disertakan dengan sebuah motosikal baru.
“Kami tidak sekadar menjual nombor pendaftaran sebaliknya bersama motosikal baru,” katanya yang juga pemilik Rie Lucky Plate Sdn Bhd.-HM
You must be logged in to post a comment.