Varian Covid India dikesan di 53 wilayah di dunia, kata WHO
GENEVA: Varian koronavirus yang pertama kali dikesan di India kini telah direkodkan secara rasmi di 53 wilayah, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.
Selain itu, maklumat dari sumber tidak rasmi menunjukkan bahawa varian B.1.617 telah ditemui di tujuh wilayah lain, menjadikan jumlahnya 60.
Laporan itu berkata B.1.617 telah menunjukkan peningkatan penularan, sementara tahap keterukan penyakit dan risiko jangkitan masih disiasat.
Sepanjang minggu lalu, jumlah kes dan kematian baharu di seluruh dunia terus menurun, dengan 4.1 juta kes baharu dan 84,000 kematian baharu dilaporkan – penurunan masing-masing 14% dan 2% berbanding minggu sebelumnya.
WHO Wilayah Eropah melaporkan penurunan terbesar dalam kes dan kematian baharu sepanjang tujuh hari lalu, diikuti wilayah Asia Tenggara.
Jumlah kes yang dilaporkan Amerika, Mediterranean Timur, Afrika, dan wilayah Pasifik Barat adalah sama dengan yang dilaporkan pada minggu sebelumnya.
“Walaupun terdapat tren global yang menurun sepanjang empat minggu lalu, kadar insiden dan kematian Covid-19 tetap tinggi, dan peningkatan yang besar turut dicatatkan di banyak negara di seluruh dunia,” kata dokumen itu.
Jumlah kes baharu tertinggi sepanjang tujuh hari lalu dilaporkan dari India (1,846,055 – turun 23%); Brazil (451,424 – naik 3%); Argentina (213,046 – naik 41%), AS (188,410 – turun 20%), dan Colombia (107,590 – turun 7%).
“Mengurangkan penularan melalui kaedah pengendalian penyakit yang sudah diyakini dan terbukti … adalah aspek penting dalam strategi global untuk mengurangkan berlakunya mutasi yang akan memberi implikasi negatif terhadap kesihatan masyarakat.” FMT
3 lagi kes varian India dikesan melibatkan bukan warganegara
You must be logged in to post a comment.