LRT: Najib nasihatkan Tajuddin minta maaf


PENGERUSI Prasarana Malaysia Bhd Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menerima nasihat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminta maaf berkaitan isu sidang media insiden kemalangan LRT Laluan Kelana Jaya semalam.

Najib berkata, dia telah menelefon Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu sebentar tadi dan Tajuddin mengakui kesilapan yang dilakukannya dalam sidang media semalam.

“Justeru, beliau menerima nasihat serta teguran saya untuk meminta maaf atas cara pengendalian sidang media sebab tragedi di mana ramai cedera parah bukan masa untuk berseloroh.

“Dia akui, dia tak sepatutnya mengendalikan sidang media sebegitu rupa. Dia sendiri akui, sidang media itu sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik dan penuh empati serta maklumat. Dia juga akan meminta maaf kepada wartawan yang hadir terutama wartawan Phoenix TV,” kata Najib.



Menurut Najib, Tajuddin juga akan meminta Prasarana menaikkan jumlah bantuan kewangan kepada mereka yang cedera dari RM1,000 kepada satu angka yang lebih memuaskan.

Jumlah tersebut bukan sebagai pampasan tetapi merupakan bantuan kecemasan untuk mangsa.

Prasarana juga akan membantu mangsa untuk menuntut pampasan dari PERKESO dan dari majikan yang mempunyai insurans swasta bagi pekerja.

Tajuddin juga berjanji akan memastikan siasatan penuh punca tragedi tidak akan menyorok sebarang maklumat atau melindungi sesiapa serta memastikan penambah baik SOP keselamatan akan dilaksanakan secepat mungkin agar tragedi seumpama ini tidak berulang.



“Berjanji akan letak jawatan sebaik sahaja MKT UMNO arahkan semua ahli UMNO untuk meletak jawatan pada masa yang sesuai seperti keputusan PAU UMNO beberapa bulan lepas.

“Saya berterima kasih pada YB Tajuddin yang merupakan sahabat lama saya sebab terbuka hati dengan nasihat dan teguran saya,” kata Najib.

Klip video beliau menjawab soalan wartawan secara sinis dan tidak menampakkan simpati terhadap mangsa insiden berdurasi 19 saat turut tular di media sosial.

“What situation? Normal. Only two car together, they kiss each other (gelak). The line ok, nothing wrong with the line,” katanya dalam klip video terbabit.



Beliau turut dikritik terhadap alasan tidak hadir ke tempat insiden sejurus selepas kejadian berlaku.

“Bila saya dapat tahu, sudah lewat, saya buat keputusan akan datang ‘first thing in the morning’. Ini bermakna saya memang serius dalam perkara ini. Jadi pagi lagi saya sudah turun, pergi tengok terowong semua,” katanya ketika menjawab soalan media. SM

LRT bertembung: Bagaimana ia boleh berlaku



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker