Kalau Sudah Setahun Masih Belum Lulus ‘SRP’, Ini Beban Kepada Rakyat – Anwar
Kerajaan dilihat masih lemah dalam menguruskan pandemik COVID-19 walaupun telah lebih setahun Malaysia dilanda wabak tersebut.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata apa yang dilihat pada hari ini sangat bercelaru.
Ujarnya, tahap kesabaran rakyat Malaysia sudah di tahap maksimum dan kecewa melihat kepada kebijakan pemerintah terkait pandemik yang seperti tidak ada arah tujuan dan tidak membawa impak yang meyakinkan.
“Kita patut tahu 7,000 kes ini tiga minggu yang lalu kerana apabila ada mobiliti iaitu pergerakan di kalangan penduduk, kita tahu jumlah itu akan melonjak.
“Kita patut jangka tiga minggu lalu. Kalau bulan Mac tahun 2020, saya boleh faham kerana kita baru nak belajar. Tapi kalau sudah setahun masih belum lulus ‘SRP’, ini beban kepada rakyat,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.
Beliau berkata demikian seiring pelancaran Program Strategi Pasca COVID-19 (PSPC19) dan Pelancaran Dashboard PascaCOVID-19 (DPC19) pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan keterbukaan dan saling bekerjasama perlu menjadi asas kepada pembangunan negara tatkala dilanda krisis ini.
“Amat penting untuk kita mendapat maklumat terperinci di peringkat paling bawah supaya kita tidak hanya buat satu andaian secara umum.
“Ini penting untuk kita tentukan dan ambil langkah-langkah (wajar), ‘lockdown‘, mengetatkan SOP (sama ada secara) rambang, satu negeri, daerah.
“Ia tidak melihat data secara terperinci kerana keputusan-keputusan kita itu bercanggah, orang tidak yakin dan tanya kenapa masjid tidak boleh, kenapa kasino boleh?
“Jadi hal-hal ini tidak seharusnya berlaku kalau ada perancangan, penelitian dan tidak ada percanggahan kenyataan – menteri ini kata nak selamatkan ekonomi, menteri ini kata nak selamatkan kesihatan,” tegasnya.
Justeru katanya penting untuk kerajaan membuat sebarang keputusan atau dasar berdasarkan data dan sains supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Antara objektif PSPC19 termasuklah:
• Mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat umum mengenai situasi COVID-19 melalui pelbagai program libat-urus, penyaluran maklumat dan advokasi
• Melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, pihak berkuasa, dan pakar dari Malaysia serta antarabangsa, untuk membincangkan dan merumuskan cara untuk memerangi COVID-19
• Menubuhkan platform untuk mengumpul, menyaring, mencerakin dan berkongsi data yang telah dikurasi dengan pihak yang berminat dan komited dalam penyelidikan, analisis dan dalam membuat sesuatu keputusan.
[VIDEO] Pendaftaran Vaksin Di Selangor Tinggi, Namun Penerima Masih Rendah – Anwar Ibrahim
You must be logged in to post a comment.