Pusingan kedua AstraZeneca dibuka kepada orang ramai mulai esok


Pendaftaran pusingan kedua untuk vaksin AstraZeneca akan dibuka kepada orang awam di bawah umur 60 tahun di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor serta Kuching dan Miri di Sarawak mulai jam 12 tengah hari esok.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata langkah itu diambil berikutan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mendapati hanya 228,347 slot ditempah golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang diberikan keutamaan dalam pusingan kedua pemberian vaksin itu mulai Ahad lalu.

Katanya, individu yang berada dalam senarai menunggu pemberian vaksin AstraZeneca dalam pusingan pertama akan dimasukkan secara automatik dalam pusingan kedua pemberian vaksin terbabit.

“CITF memutuskan bahawa untuk kemudahan tempahan suntikan vaksin AstraZeneca bagi pusingan kedua akan dibuka kepada orang ramai berusia bawah 60 tahun.



“Bagaimanapun, kita masih memberikan keutamaan kepada warga emas untuk tempoh hari ini dan pagi esok,” katanya dalam sidang media mingguan CITF bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Putrajaya menerusi aplikasi Zoom.

Dalam pada itu, beliau berkata pemberian vaksin AstraZeneca untuk pusingan kedua ini akan membabitkan empat lagi pusat pemberian vaksin (PPV) baharu, selain kemudahan sedia ada.

Katanya, ia termasuk Setia Spice Arena di Bayan Lepas, Pulau Pinang; Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di Johor Bahru; Pusat Konvensyen Borneo dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, di Sarawak.

“PPVAZ IGCC Shah Alam sudah mula beroperasi dengan kapasiti 3,000 dos sehari sekali gus menjadi PPVAZ kedua terbesar selepas PWTC.



“Daripada jumlah diterima kita sudah membuat agihan kepada semua PPVAZ di Johor, Pulau Pinang, Sarawak, Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker