Najib dedah VVIP terkenal sumbang dana RM114 juta
Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan, dana RM114 juta yang gagal dirampas oleh kerajaan disumbangkan oleh seorang kenamaan atau VVIP yang amat terkenal.
Beliau menjelaskan perkara itu semasa menjawab soalan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanya tentang sumber dana tersebut.
Walau bagaimanapun, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan tidak menyatakan secara terperinci siapakah VVIP berkenaan.
Najib memberitahu, maklumat tentang sumber wang tersebut telah dijelaskan beberapa kali termasuk ketika polis membuat siasatan.
“Tun fikir polis tak tanya soalan itu ke semasa menyiasat?
“Wang itu dipindah dari peti-peti besi amat besar di Pejabat Perdana Menteri pada malam kita kalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Tun bukan tak tahu. Sebab Tun yang bina peti-peti besi ini untuk tujuan yang sama.
“Jadi, Tun. Kenapa kamu bina peti-peti besi itu? Untuk simpan apa, ya?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau berkata, wang itu adalah sumbangan untuk kegunaan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRU-14.
Najib menambah, beliau telah memberi senarai nama penyumbang kepada polis dan mereka turut dipanggil memberi keterangan.
“Sebab itu, polis dan pendakwa raya tidak dapat buktikan ianya adalah sumber haram selepas tiga tahun menyiasat walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah cuba sedaya upaya untuk kaitkan dana itu dengan hasil jenayah,” katanya.
Paling menyedihkan, kata beliau, ada pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebelum ini menuduh dana itu adalah hasil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah menukar cerita mereka.
“Sekarang, dorang keluarkan statement untuk suruh saya derma dana itu kepada Palestin atau peniaga kecil pula tanpa sebarang permohonan maaf walaupun pernah fitnah saya,” ujarnya.
Pada 20 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Jabatan Peguam Negara gagal membuktikan bahawa wang RM114 juta itu mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.
Memetik laporan FMT, beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan wang tunai yang dirampas adalah dana yang diperoleh dari kesalahan pecah amanah (CBT).
Kerajaan mahu melucut hak wang tunai RM114,164,393.44 dan barang kemas serta barangan berjenama mewah yang dirampas dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, tiga tahun lalu.
Mereka mendakwa wang dan barangan itu ada kaitan dengan 1MDB. Edisi 9
You must be logged in to post a comment.