Urusan di Tabung Haji hanya menerusi janji temu
KUALA LUMPUR: Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang mahu berurusan di kaunter TH perlu membuat janji temu sebelum hadir.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata, janji temu itu dibuat selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di 123 cawangannya mulai Selasa ini.
Katanya, pendeposit boleh membuat janji temu dengan melayari laman web TH di www.tabunghaji.gov.my dan klik di menu pilihan urusan janji temu yang akan dimuat naik bermula esok.
“Pendeposit yang hadir perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di ruangan pejabat.
“Jumlah pendeposit dalam ruangan pejabat juga akan dihadkan bagi memastikan SOP terpelihara.
“Pendeposit perlu mendaftar masuk (check-in) dengan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis TH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pendeposit boleh membuat janji temu untuk berurusan di kaunter bermula jam 9.30 pagi sehingga 1 petang setiap hari kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Tambahnya, TH menggalakkan pendeposit mengguna kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan melalui THiJARI dan boleh memilih saluran perkhidmatan elektronik dan dalam talian bank Rakan Strategik TH dan Ejen Kutipan TH di lebih 10,000 titik sentuh seluruh negara terutama sepanjang tempoh PKP 3.0.
“Bagi pendeposit yang ingin mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat awal berkaitan Hibah Amanah dan urusan pusaka, TH juga menyediakan kemudahan panggilan semula yang turut boleh diakses melalui laman web TH,” katanya. BH