Tanda tanya di sebalik TV Pendidikan KPM
Dalam kerancuan sistem pendidikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang, rakyat melihat pelbagai isu berkaitan gagal dikendalikan oleh pihak menteri serta kedua-dua timbalannya.
Kelewatan membuat keputusan, berdiam diri apabila banyak isu mendesak dan keangkuhan menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh pihak-pihak berkepentingan menjadikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah pemerintahan PN kini diragukan kemampuannya mencorakkan masa depan negara.
Pelbagai isu yang dibawa oleh ahli-ahli parlimen, NGO dan guru tidak dijawab atau dibiarkan tanpa jawapan. Namun sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab memastikan kerajaan menjalankan fungsi secara sepatutnya, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) Bersama ahli parlimen-ahli parlimen di blok pembangkang akan terus memastikan mereka terus dipantau.
Terdapat dua isu yang perlu dijawab oleh KPM:
1: Kontrak perbekalan kandungan TV Pendidikan oleh syarikat swasta
Sewaktu perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat tahun lalu, Ahli Parlimen Simpang Renggam membangkitkan isu status kandungan bagi rancangan TV Pendidikan yang bernilai RM1.9 juta dan diberikan kepada sebuah syarikat dan mereka tidak dapat menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam jawapannya, Menteri Pendidikan berkata berikutan kegagalan tersebut tarikh tamat projek itu dilanjutkan dari 30 Nov 2020 kepada 31 Mac 2021.
Persoalannya, apakah status pembuatan kandungan tersebut pada waktu ini? Apakah kesemua 800 kandungan tersebut telah selesai atau terpaksa ditangguhkan lagi?
Jika benar ditangguhkan lagi, berapa lama? Jika ditangguhkan lagi, apakah tindakan KPM atas kegagalan tersebut? Apakah mereka dikenakan penalti?
RTM ada fasiliti mencukupi
Selain itu, berapakah bayaran yang dibuat pada syarikat penyedia kandungan berkenaan setakat ini? Apakah masih tetap nilainya iaitu RM1.9 juta?
Semua perkara ini kabur dan tidak mendapat penjelasan kerana tiada sidang parlimen, manakala kerajaan bebas bertindak tanpa sikap ketelusan yang sepatutnya.
Semua ini dijustifikasikan atas nama darurat!
2: Kontrak penyiaran bahan pendidikan oleh DidikTV milik syarikat swasta, Media Prima
Umum tahu siaran DidikTV bermula di stesen NTV7 pada 16 Feb lalu iaitu dua hari sebelum sesi persekolahan bersemuka dimulakan.
Pada 1 Mei pemegang taruh Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM tidak lagi melaksanakan sebarang rakaman dan penerbitan rancangan TV Pendidikan.
Semuanya diserahkan kepada DidikTV (Media Prima) secara rundingan terus oleh KPM pada kadar yang tidak dinyatakan. Umum ingin mengetahui, berapakah nilai bayaran KPM kepada DidikTV untuk siaran 17 jam sehari selama sebulan sehingga tiga tahun itu?
Sedangkan umum tahu, pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui RTM pernah memberi laluan siaran TV Pendidikan secara percuma melalui airtime mereka.
Bahkan KKMM pada asalnya menwujudkan saluran baru, TV6, sebagai TV Pendidikan (sekarang dijenamakan semula sebagai Retro TV) tetapi saluran itu ditolak oleh Menteri Pendidikan Radzi Jidin.
Justeru, kami meminta KPM menjelaskan kepada rakyat:
Kenapa KPM tidak memilih RTM sebagai saluran TV Pendidikan sedangkan kaedah ini percuma dan mereka mempunyai fasiliti yang cukup?
Apakah rasional dan keuntungan bagi rakyat dan KPM untuk membuat bayaran siaran kepada DidikTV pada saat kerajaan menggunakan fasiliti siaran TV kerajaan pada saat darurat ini?
Berapa puluh jutakah nilai kontrak rundingan terus yang diberikan kepada Media Prima? Apakah benar ia melibatkan peruntukan sebanyak RM70 juta hanya bagi 2021?
Apa yang pasti umum bertanya juga: mengapa sehingga kini kontrak belum ditandatangani di antara pihak kerajaan dan DidikTV? Bolehkah KPM memberi penjelasan terperinci?
Apakah hala tuju pembangunan kandungan TV Pendidikan?
Berapa bilangan penonton
Apa yang pasti, maklumat daripada para guru menunjukkan pihak DidikTV menggunakan sumber guru-guru KPM dan silibus KPM. Bahan-bahan PdP program yang dihasilkan DidikTV secara siaran langsung bersama guru-guru KPM itu diletakkan di platform digital Tonton milik Media Prima.
Persoalannya siapakah yang memiliki hak cipta program-program tersebut? KPM atau pihak Media Prima?
Bukankah KPM mempunyai pelantar pembelajaran Delima dan EduwebTV (berdasarkan inisiatif KPM yang termasuk di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia PPPM 2013-2025)?
Malangnya sehingga kini bahan-bahan tersebut tidak kelihatan di Delima dan EduwebTV.
Bukankah bahan video PdP hasil siaran DidikTV dan diusahakan pula oleh guru-guru yang dibayar oleh KPM? Kenapa video ini diletakkan di Tonton dan bukannya di pelantar Delima dan portal EduwebTV?
Hakikat yang akan dihadapi oleh murid-murid ialah mode PdPR untuk PKP 3.0 akan bermula sejurus selepas cuti Aidilfitri. Persoalannya, bagaimanakah murid-murid boleh mengakses bahan video PdP yang dihasilkan oleh DidikTV dan pembekalan video TV Pendidikan yang sepatutnya telah selesai dihasilkan syarikat berkaitan (sebanyak 800 video) sedangkan video-video ini masih belum dimuat naik di platform pembelajaran Delima dan EduwebTV?
Berapakah bilangan penonton DidikTV sehingga kini? Apakah berbaloi puluhan juta ringgit duit rakyat dilaburkan berbanding bilangan penggunanya?
Apa yang pasti semuanya masih kabur. Akhir sekali, kami ingin bertanya: ke manakah hala tuju TV Pendidikan di bawah Radzi?
Diharapkan pihak menteri dan timbalan-timbalannya tidak memperjudikan pendidikan negara dan masa depan anak-anak bangsa!
Kenyataan ini dikeluarkan Jawatankuasa Pendidikan PH yang dipengerusikan Maszlee Malik (MP Simpang Renggam) serta dianggotai Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Setiawangsa) Teo Nie Ching (DAP-Kulai) Hasan Baharom (Amanah-Tampin), Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar), Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) dan Ahmad Hassan (Warisan-Papar).
You must be logged in to post a comment.