Malaysia Di Ambang Kritikal

Malaysia Di Ambang Kritikal. Peningkatan kes Covid-19 yang mencecah angka lebih 6,000 kes selama dua hari berturut-turut amat membimbangkan dan menunjukkan situasi krisis pandemik di Malaysia makin gawat.

Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, negara Malaysia berada pada suatu tahap yang kritikal dalam perjuangan melawan Covid-19.

“Kita berada pada suatu tahap yang kritikal apabila kapasiti perkhidmatan kesihatan dan sumber tenaga barisan hadapan kini semakin mencabar.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus tegas dan bijaksana untuk uruskan Covid-19 di hospital dan wad kecemasan. Kembangkan sumber katil Covid-19 dengan mengintegrasi sektor awam, swasta dan (syarikat berkaitan kerajaan, GLC).

“Urus penularan virus dalam komuniti dengan mengguna alat digital. Ia secara automatik memudahkan kesan kontak dan cepatkan kuarantin.

“Kita tidak harus membebankan pekerja perubatan lagi. Gunakanlah Artificial Intelligence (AI) dan automasi untuk kurangkan kerja kertas,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau turut mencadangkan rancangan sosio ekonomi dimana rakyat boleh hidup (co-exist) dengan virus secara ‘damai’ apabila ia dapat dibendung dengan kaedah yang baik berasaskan fakta dan epidemiologi semasa.

Perintah Kawalan Pergerakan

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan akhirkan pandemik. Kita hendaklah mengenal pasti sektor, lokasi dan aktiviti dimana penularan berlaku. Pastikan ventilasi yang baik di bangunan dan tempat-tempat sesak

“Seterusnya, melakukan ujian yang percuma, bersasar dan massa supaya walaupun tidak bergejala, ia dapat dikenal pasti dan dikuarantin secepatnya.

“Gunakan ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) dan bukan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR). Ia murah dan mendapat keputusan cepat dan jangan lambatkan isolasi.

“Dapatkan kerjasama Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) untuk memantau pesakit risiko rendah di rumah dan benarkan mereka bebaskan pesakit (Release Order).

“Optimakan penggunaan pusat risiko rendah (MAEPS) hanya untuk mereka yang tidak boleh kuarantin di rumah dan pada jangka masa pendek, beri keutamaan imunisasi kepada negeri atau sektor yang paling teruk,” katanya.

Tambahnya, rakyat tidak patut dipersalahkan kerana mereka sudah letih dan lesu dengan melawan pandemik selama 16 bulan dan memerlukan pemimpin yang tegas, kontemporari dan prihatin dengan kesengsaraan rakyat jelata.

“Sepatutnya terdapat komunikasi risiko yang mendidik dan memperkasakan rakyat dan bukan menyalahkan rakyat semata-mata. Rakyat adalah rakan kongsi dan solusi bersama,” katanya.

Berdasarkan statistik KKM pada Khamis, kes Covid-19 merekodkan angka tertinggi sebanyak 6,806 kes.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, peningkatan kes melebihi angka 6,000 itu merupakan situasi parah dan rakyat perlu berasa takut.

“Jika angka pada pertengahan dan hujung bulan ini terus meningkat, ia menunjukkan kawalan pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri tidak dipatuhi,” katanya.

Beliau turut memberi solusi yang dirasakan terbaik untuk mengawal kadar kenaikan kes selain total lockdown.

“Cadangan terbaik adalah dengan memperketatkan PKP yang sedia ada. Total lockdown akan menyebabkan pembelian panik. Oleh itu, SOP perlu disemak dan diketatkan dan pematuhan rakyat terhadap SOP kena tinggi,” katanya.-SH

Malaysia Di Ambang Kritikal


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Kes tinggi, petugas barisan hadapan letih

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker