Padang Besar Pavilion rancakkan ekonomi Perlis


Kompleks beli-belah Padang Besar Pavilion yang dijangka siap pada penghujung 2021 mampu mewujudkan landskap baharu ekonomi bagi bandar sempadan ini menjelang awal 2022.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata projek bernilai RM30 juta itu adalah inisiatif pelabur swasta, PZS Development Sdn Bhd untuk membangunkan tanah milik kerajaan negeri seluas 3.64 hektar sebagai Kampung Fesyen.

“Kita akan bina unit-unit kedai yang akan diuruskan oleh satu syarikat dan ia akan disewa kepada mereka yang berminat.

“Standard bagi Padang Besar Pavilion adalah lebih tinggi berbanding kedai yang sedia ada di sini kerana kita ingin jaga kualiti dan konsep perniagaan yang berbeza dengan perniagaan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menyediakan satu garis panduan yang wajib dipatuhi oleh peniaga di Padang Besar Pavilion bagi meningkatkan kualiti perniagaan sama ada dari segi premis, kualiti barang yang dijual, pengendali premis dan kebersihan.

Bagi fasa kedua pula, sebuah hotel bertaraf tiga bintang dengan kapasiti kurang daripada 100 bilik akan dibina oleh pemaju yang sama bagi mengalakkan lagi aktiviti pelancongan di Padang Besar, katanya.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Yusof berkata pembangunan baharu di Padang Besar akan membawa landskap ekonomi yang lebih moden dan eksklusif berbanding sebelum ini.

“Peniaga di Perlis khususnya di Padang Besar diharapkan dapat merebut peluang ini kerana ia diunjurkan mampu meningkatkan ekonomi rakyat Perlis selain menjadi mercu tanda baharu industri pelancongan negeri,” katanya.

Menurut sumber, projek itu yang meliputi pembinaan 11 blok bangunan mengandungi 96 unit kedai, sembilan unit ruang makan dan 105 unit tempat letak kenderaan akan memberi imej baharu kepada pekan Padang Besar sebagai bandar yang lebih tersusun dan kondusif. Bernama

Timbalan Menteri Sanggah Mufti Perlis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker