Hentilah sementara beri beras, fokus kerja hakiki anda,’ Ahli MKT Umno tegur Menteri Pendidikan


Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin harus bertanggungjawab ke atas sistem pendidikan yang semakin bercelaru di sebalik gelombang ketiga pandemik Covid-19, kata seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Mohd Razlan Rafii berkata antara kesan kecelaruan itu adalah kegagalan kerajaan menyediakan 150,000 komputer riba dan tablet percuma kepada pelajar serta program pendidikan TV yang tidak bermutu.

“Hentikanlah sementara program beri beras dan program kebajikan wahai menteri pendidikan. Fokus kepada kerja hakiki anda, turun setiap masa, setiap waktu melihat guru-guru, duduk bersama mereka dan selesaikan masalah pendidikan ini,” kata Rafii dalam kenyataan.

Beliau mendakwa dana untuk pembekalan 150,000 peranti itu sudah pun dikutip daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat, bagaimanapun permasalahan itu gagal diselesaikan walaupun sudah enam bulan berlalu.



“Mula-mula berjanji akan diedarkan pada Februari. Tunggu punya tunggu, puasa sudah raya pun sudah, duit sudah ada. Cuma proses pembelian sahaja dan pengurusan penghantaran tidak kunjung tiba.

“Kita pun tak tahu di mana silapnya. Susah ke nak beli laptop? Ada banyak jenama dan banyak kilang. Kalau tak boleh beli semua dalam satu jenama, belilah pelbagai jenama. Perkara sangat mudah, namun gagal dilakukan dengan mudah,” katanya.

Yayasan Hasanah, yang dilantik oleh kerajaan bagi program pembekalan komputer riba dan tablet itu, berkata semua 150,000 peranti itu dijangka diagihkan menjelang September.

Razlan juga mendakwa Kementerian Pendidikan gagal menyediakan program pendidikan bermutu menerusi televisyen.



“Kementerian Pendidikan berjanji akan menambah TV pendidikan dengan pelbagai silibus. (Namun) setelah diumum, dibiarkan begitu sahaja. Bahan video tidak berkualiti dan tidak cukup untuk memberi ilmu kepada anak-anak. Ianya dibuat sekadar lepas batuk di tangga,” kata beliau.

“Bukan SPM sahaja yang perlu mengulang kaji. Anak-anak dari Darjah 1 hingga Tingkatan 5 juga tidak mahu ketinggalan,” katanya.

Sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas di seluruh negara terjejas dengan penularan wabak Covid-19, memaksa sekolah di tutup dan pelajar semakin mengikuti kelas secara dalam talian dan menerusi program pendidikan TV. FMT

Radzi gagal teruk



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker