KKM pertimbang PKP penuh, SOP lebih ketat di Selangor


Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbang untuk mengetatkan SOP atau menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh di Selangor jika negeri itu gagal mengekang penularan Covid-19.

Menterinya, Dr Adham Baba, berkata tindakan itu perlu kerana Selangor mencatatkan jangkitan tertinggi hampir setiap hari dengan 1,275 kes dan empat kluster baharu dilaporkan semalam.

“Peningkatan kes positif harian dilaporkan di Selangor adalah kerana ujian saringan RTK-Antigen secara besar-besaran dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan KKM.

“Justeru, saya memang bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri supaya SOP diperketatkan atau PKP penuh dilaksanakan di Selangor jika kita gagal mengawal peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri itu, dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin secara maya hari ini.



Mengulas lanjut, Adham berkata pelaksanaan PKP di seluruh negara ketika ini membolehkan KKM melaksanakan lebih banyak ujian dan pengasingan serta merawat kes positif, selain kerjasama kerajaan negeri untuk mengendali ujian RTK-Antigen di kawasan ada kaitan epidemiologi yang tinggi.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP juga membenarkan KKM melaksanakan pengesanan kontak lebih cepat dan melaksanakan keseluruhan pencegahan dan kawalan kesihatan awam.

Katanya, antara langkah diambil kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19 ketika ini adalah tidak membenarkan rentas daerah dan negeri mulai 12 Mei 2021, membatalkan aktiviti sosial, tidak membenarkan “dine in” di restoran dan kedai makan dan minta industri mulakan semula kerja dari rumah.

Katanya, KKM dan kerajaan juga berusaha menangani penularan wabak Covid-19 dengan meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan rawatan di semua hospital.



“Justeru, kita juga akan menggunakan kaedah terkini ujian saringan Covid-19 menerusi penggunaan sampel air liur, selain membina hospital medan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kapit, Sarawak, Kelantan dan Pulau Pinang selain pembabitan hospital swasta dan pengajar untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Adham turut melahirkan kebimbangan dengan kemunculan kluster di rumah ibadat seperti surau dan masjid serta lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar raya.

“Saya akui bahawa wujud kelemahan kerana berlaku pertemuan ahli keluarga di kompleks dan pusat beli-belah sebaik kerajaan mengenakan larangan ziarah dari rumah ke rumah pada Hari Raya Aidilfitri, 13 Mei lalu.

“Isu ini amat membimbangkan kita, apabila kerajaan tidak benarkan sambut Hari Raya di rumah, kita dapati ramai pergi ke kompleks dan pusat beli-belah untuk bertemu.



“Perbuatan seperti ini boleh mencetuskan krisis sekiranya berlaku pertemuan di kompleks dan pusat beli-belah di seluruh negara. Inilah antara kelemahan yang kita gagal kenal pasti lebih awal,” katanya. FMT

Pemuda dikompaun RM5000 rentas daerah sebab ‘dating’



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker