Suspek utama kes bunuh pelajar kolej maut jatuh bangunan
PETALING JAYA: Seorang lelaki suspek utama dalam kes pembunuhan seorang pelajar maut setelah jatuh dari tingkat 26 sebuah bangunan semalam.
Sebelum kejadian, lelaki berusia 24 tahun itu diiringi oleh polis ke sebuah unit di bangunan di Damansara Perdana yang didakwa lokasi pembunuhan bagi menunjukkan bahan bukti, menurut laporan Bernama.
“Suspek telah meminta kepada polis untuk dibawa ke balkoni dengan helah ingin menunjukkan bahan bukti baharu walaupun tiada apa-apa di balkoni itu,” kata Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed pada sidang media di Shah Alam hari ini.
Pada masa itu, tangan suspek digari di hadapan kerana terdapat kecederaan dengan lebih 100 jahitan akibat pergelutan dengan pelajar yang didakwa dibunuh di unit tersebut.
Namun, secara tiba-tiba, lelaki terbabit merentap tangannya yang dipegang anggota polis dan berlari ke arah balkoni unit tersebut sebelum terjun.
Dia adalah suspek utama kes pembunuhan rakan sekolejnya pada 6 Mei lalu. Kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham berkaitan penjualan dadah dan masalah hutang.
Suspek itu ditahan pada 9 Mei dan direman tujuh hari hingga 16 Mei.
Ekoran kematian suspek, kes bunuh itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Mahkamah Koroner, kata Arjunaidi.
Kematiannya pula kini disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan membabitkan kecuaian pegawai dan anggota polis mengawal tahanan. FMT
Wanita Paling Dibenci di Amerika Syarikat
You must be logged in to post a comment.