Wanita Paling Dibenci di Amerika Syarikat

Oleh Jack Lester

Ini adalah kisah seorang wanita yang bergelar sebagai ibu telah disyaki membunuh anak perempuannya sendiri. Disebabkan keputusan kontroversi kes pembunuhan wanita inilah yang menyebabkan Casey Anthony menjadi salah seorang individu paling dibenci di Amerika Syarikat.

Pada tahun 2005, Casey Marie Anthony iaitu seorang gadis muda berusia 19 tahun ketika itu telah melahirkan seorang cahaya mata perempuan yang diberikan nama sebagai Caylee Anthony. Identiti sebenar bapa kandung Caylee pula tidak dapat dikenalpasti.


Sebelum melahirkan Caylee, Casey pernah menafikan tentang kehamilannya itu kepada ibu bapanya iaitu George Anthony dan Cindy. Namun, perkara tersebut terbongkar jua pada akhirnya. Casey juga adalah seorang wanita liar dengan kehidupannya yang suka berparti, mabuk dan menghisap dadah.



Menjelang tahun 2008, Casey yang telah bertengkar dengan ibunya bertindak untuk keluar dari rumah dengan membawa Caylee sekali. Perkara ini bermaksud mereka tinggal berasingan. Biarpun berlakunya pertengkaran itu, Cindy sering menelefon Casey untuk bertanyakan khabar Caylee. Casey bagaimanapun sering berdolak-dalih dengan memberikan pelbagai alasan seolah-olah enggan menyuruh ibunya itu berborak dengan Caylee. Casey cuma memberitahu bahawa Caylee telah dijaga oleh soerang pengasuh yang bernama Zenaida “Zanny” Fernandez-Gonzalez.


Pada tarikh 13 Julai 2008, George dan Cindy menerima satu e-mel yang memberitahu bahawa kereta Casey telah ditunda. George yang kemudiannya pergi ke lokasi kejadian ada terhidu bau busuk pada bahagian but kereta Casey tersebut. Bau itu ternyata menimbulkan rasa tidak senang hati terhadap George dan Cindy memandangkan pada sebelumnya mereka berdua langsung tidak menerima sebarang perkhabaran berita tentang Caylee. Susulan perkara itu, George dan Cindy membuat keputusan untuk pergi mencari Casey.

Seterusnya, Casey yang berjaya ditemui telah memberitahu ibu bapanya bahawa Caylee berada dalam keadaan selamat bersama pengasuh. Walau bagaimanapun, tetap timbul keraguan dalam diri Cindy. Jadi, dia pun meminta Casey membawanya untuk pergi berjumpa dengan Caylee. Hanya selepas itu barulah Casey memberitahu perkara yang sebenarnya iaitu Caylee sudah pun hilang selama 31 hari.

Mendengar perkara tersebut, Cindy terus bertindak menghubungi talian kecemasan bagi melaporkan kehilangan Caylee. Sementara itu, Casey yang telah dengan muka selambanya telah ditahan pada sehari kemudian. Bayangkan, Caylee hilang selama sebulan tanpa sebarang laporan polis yang dibuat!



Jadi, apa yang Casey buat sepanjang 31 kehilangan anaknya itu? Jelas sekali, dia langsung tidak mempunyai kenalurian sebagai seorang ibu. Tiada sifat keprihatinan. Casey hanya buat bodoh dan sibuk berparti liar. Apabila disoal siasat, Casey memberitahu bahawa kononnya dia ada mencari Caylee dengan cara yang tersendiri. Selain itu, Casey juga mendakwa bahawa dia merupakan seorang pekerja di Universal Studio, Orlando. Pihak polis kemudian membawanya ke lokasi tersebut untuk membantu siasatan. Sesudah sampai, Casey menukar pula cerita dengan memberitahu bahawa dia sebenarnya bukanlah pekerja di situ. Pada masa sama, usaha untuk mencari Caylee telah dipergiatkan.

Sementara itu, terbongkar juga cerita Zenaida “Zanny” Fernandez-Gonzalez yang kononnya sebagai pengasuh Caylee adalah tidak benar sama sekali. Nama “Zenaida” itu memang benar-benar wujud dalam senarai nama penduduk tempatan, namun dia menegaskan tidak pernah mengenali Casey mahupun Caylee. Dilaporkan watak Zenaida tersebut sebenarnya dipilih secara rawak oleh Casey melalui senarai buku telefon bagi menghidupkan cerita dongengnya.

Tanggal 11 Disember 2008, seorang lelaki bernama Roy Kronk yang juga merupakan seorang pembaca meter telah melakukan rutin kerjanya di sekitar kediaman George. Di kawasan situlah dia menemui satu beg plastik hitam yang mencurigakan. Selepas Roy melakukan pemeriksaan, beg itu didapati mengandungi rangka manusia kanak-kanak dengan pita pelekat masih melekat pada bahagian mulut. Roy seterusnya melaporkan penemuan tersebut kepada pihak polis. Saki baki tulang rangka berjaya ditemui di kawasan hutan yang berhampiran. Seminggu kemudian, identiti rangka tersebut dikenal pasti sebagai Caylee Anthony.

Menerusi perkembangan lain, Roy Kronk bertindak memfailkan saman terhadap Casey selepas dia dituduh oleh pihak pembelaan sebagai penculik dan pembunuh Caylee.



Jadi, adakah Caylee sebenarnya dibunuh? Jawapannya adalah ya. Cumanya punca sebenar kematian dan bagaimana pembunuhan itu berlaku adalah tidak dapat dipastikan.

Berikutan itu, maka timbul beberapa teori. Salah satu teori yang dikemukakan oleh pihak pembelaan adalah Caylee sebenarnya mati lemas secara tidak sengaja di dalam kolam renang. Teori ini bermaksud tiada pihak yang bersalah. Selepas kematian Caylee disedari, George mengarahkan Casey untuk menangani situasi tersebut. Timbul juga dakwaan bahawa Caylee mati lemas semada dicabul oleh George. Lagipun, Casey ada mendakwa bahawa George pernah mencabulnya sewaktu dia masih kecil. Satu tohmahan tidak berasas yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh George.

Terdapat dua teori utama Casey sebagai pembunuh. Teori pertama, pita pelekat. Pita pelekat sengaja Casey lekatkan pada muka Caylee, lalu dibiarkannya mati kelemasan. Casey sengaja berbuat sedemikian supaya dia boleh pergi berparti tanpa sebarang gangguan. Teori kedua, bau klorofom. Caylee mati dengan tidak sengaja akibat terhidu bau klorofom secara berlebihan. Berkemungkinan Casey menggunakan bau klorofom itu adalah untuk mendiamkan Caylee. Namun, keadaan yang berlaku telah menjadi sebaliknya. Mengikut fakta, Casey ada membuat pencarian maklumat pada komputernya dengan kata carian “chloroform”.



Jasad Caylee yang tidak bernyawa telah disimpan di dalam but kereta selama beberapa hari. Perkara inilah menjadi penjelasan penting bau busuk yang dihidu oleh George.

Bulan Julai 2011, keputusan perbicaraan kes. Pihak juri yang terdiri daripada tujuh juri wanita dan lima juri lelaki akhirnya memutuskan bahawa Casey Anthony didapati tidak bersalah atas kesalahan membunuh Caylee. Casey hanya didakwa atas empat pertuduhan memberikan keterangan palsu kepada pihak berkuasa. Keputusan mahkamah itu sekaligus telah menimbulkan rasa tidak berpuas hati dan kemarahan orang ramai. Bagi mereka, keadilan untuk Caylee telah terkubur.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker