PRU15: Perikatan 3.0, bukan PN lagi, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yakin akan berlaku sesuatu kepada parti berkenaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti dengan wujudnya Perikatan 3.0 dan bukan lagi Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara, hari ini.

Bercakap semasa wawancara Program 75 Tahun Jubli Intan anjuran Umno Online malam semalam, Ahmad Zahid dipetik oleh portal Agenda Daily sebagai memberi bayangan bahawa akan wujud satu jajaran baru politik Umno bersama PKR dan DAP.

“Kedinamikan politik pasti berlaku saya lihat… saya bukan seorang nujum politik tetapi saya yakin kalau mahu disebut hala tuju atau kedinamikan itu.

“Kita lihat, selepas PRU15, sama ada ia akan diadakan dalam waktu terdekat, atau dalam tempoh yang hanya Allah Taala sahaja tahu kerana kalau mengikut cukup tempoh pilihan raya adalah pada tahun 2023.

“Pada ketika itu, saya hampir pasti bahawa akan ada sesuatu yang akan berlaku kepada Umno, sebagai sebuah parti induk orang Melayu dan Islam, di mana ketika itu akan ada Perikatan 3.0 bukan Perikatan Nasional,” katanya.

Kata Zahid, jajaran baru itu tidak melibatkan PN yang sekarang ditunjangi oleh Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, PAS, BN, Umno serta beberapa parti di Sabah dan Sarawak.

Presiden Umno itu walau bagaimanapun tidak mendedahkan parti-parti yang akan bersama dalam gabungan baru itu.

Zahid berkata penubuhan parti Perikatan dahulu juga tidak statik sifatnya, dan ia berubah mengikut perubahan politik semasa.

“Kita harus, melihat kewujudan parti Perikatan yang merupakan payung bukan sahaja kepada Umno tetapi sebagai parti-parti komponen ketika itu, tidak merupakan sebuah gabungan yang statik betulnya, apabila Barisan Nasional (BN) diwujudkan ia merupakan Perikatan 2.0.

“Jadi ini merupakan langkah yang baru, di mana kita lihat sunnatullah telah menentukan bahawa masyarakat Malaysia penuh dengan kemajmukan,” katanya.

Sebelum ini, tular bahawa beberapa pemimpin parti mendakwa Zahid sedang berusaha untuk membawa Umno bersama PKR dan DAP.

Zahid bagaimanapun menegaskan bahawa parti itu tiada sebarang rundingan dengan mana-mana pihak, sekali gus menafikan apa yang didakwa.

Malah, Mesyuarat Agung Umno yang lalu juga mengambil pendirian parti itu masih kekal dan muktamad iaitu tidak menerima Anwar Ibrahim, DAP atau Bersatu. Mk

UMNO umum tarik diri daripada Perikatan Nasional – Zahid Hamidi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker