Bagaimana Asma ul-husna Allah memberi kesan pada diri, ini penjelasannya


Ada yang bertanya, benarkah zikir Asma ul-husna mempunyai pengaruh kepada peribadi pengamalnya? Menjawab persoalan ini sebenarnya hati kita akan merakamkan semua benda yang kita cakap. Apabila mulut sentiasa mengingati Allah maka hati itu akan diaktifkan.

Sebab itulah Nabi s.a.w. sebut, di dalam hati kita ini ada dua ruang satu rumah malaikat dan satu lagi rumah syaitan. Apabila kita mengingati Allah maka malaikat akan masuk dan apabila kita lupa Allah maka malaikat akan lari dan syaitan akan masuk. Malaikat membawa simbol kebaikan dan syaitan simbol kejahatan.

Seperti yang disebut dalam surah an-Nas: 4-6,

“Dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Iaitu pembisik dan penghasut dari kalangan jin dan manusia.”

Peranan zikir untuk mengaktifkan hati. Dari hati barulah ia pergi ke otak, mata, telinga, tangan dan kaki. Ia juga disebut sebagai aura seperti yang orang sekarang popularkan. Kalau ulama dahulu ia tidak tahu pun tentang aura itu tapi terapi merangsang hati dengan zikir.

Sebab itulah apabila kita berzikir kena lakukan dengan lidah dan hati sebab Allah tidak terima orang yang beramal dari hati yang lalai dan leka. Seperti yang disebut surah Ar-Rad: 28,

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah” Ketahuilah! Dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati manusia.”

Kemudian di dalam surah al-Anfaal: 2,

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka.”

Bila hati tidak diaktifkan dengan zikirullah maka hati itu akan mati, apabila tidak ada semua itu maka tidak akan ada pertolongan dan cahaya Allah.

Zikirullah sangat penting kepada manusia, amat merugikan kalau tidak berzikir. Sebab itulah di dalam disiplin tasawuf amat mementingkan zikirullah.

Zikir adalah amalan yang paling utama kerana tidak ada batasan waktu dan tempat kecuali yang tidak dibenarkan. Sebab itulah Nabi s.a.w. apabila keluar dari tandas terus beristighfar kerana ketika di dalam tandas dia tidak boleh berzikir.


Ingatlah Allah dalam setiap apa jua keadaan

Bagi Nabi tidak berzikir itu adalah dosa kepada Allah dengan lidahnya. Dari situ kita lihat peranan zikir sebagai satu perangsang untuk menghidupkan hati. Apabila hati hidup barulah nur Allah akan masuk ke dalam diri kita.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,

“Sesungguhnya hati manusia itu akan berkarat seperti mana karatnya besi. Sahabat bertanya kepada Rasulullah, “Bagaimana hendak mengubatinya, Ya Rasulullah?” Maka Rasulullah menjawab, “Dengan membaca al-Quran dan sentiasa mengingati mati.”

Berzikir dengan nama Allah adakah mengubah peribadi? Untuk pertanyaan itu pula lihat di dalam surah al-A’raaf: 180

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.”

Harus zikir dengan Asma al-Husna

Maka para ulama mentafsirkannya, kita diharuskan berzikir menggunakan nama-nama Allah. Dan, akhirnya dikaji oleh para ulama bahawa setiap zikir itu boleh digunakan untuk memohon kesejahteraan di dalam hidup misalnya jika memohon rezeki maka boleh dizikirkan Ya Razaq, Ya Razaq.

Begitu juga nama-nama Allah yang lain-lain. Apabila dizikirkan ia tidak menjadi kesalahan malah ia menjadi tuntutan. Itulah namanya hikmah iaitu para ulama boleh membezakan jika penyakit yang begini apa Asma ul husna yang sesuai dan timbangannya berapa.

Dunia perlukan Allah, dan setiap makhluknya berzikir kepada Allah waima batu sekalipun. Jadi kenapa tidak kita?
Asma ul-husna itu sangat berkait rapat dengan kita. Penjelasannya begini, bolehkah kita ada di muka bumi ini tanpa adanya Allah? Boleh!

Tapi bolehkah Allah ada di dunia ini tanpa adanya kita?

Siapa memerlukan siapa? Kita sebenarnya yang memerlukan Allah. Asma ul-husna adalah refleksi terhadap zat Allah. Kita tidak tahu zat Allah dan kita tidak boleh menggambarkan apa-apa sesuatu dengan zat Allah.

Di dalam hadis juga disebut, “berfikirlah kamu pada nama-nama Allah dan jangan fikir pada zat Allah.”

Cara Allah hendak mengenalkan diri-Nya adalah dengan menciptakan makhluk-Nya. Sebab itulah Allah berfirman di dalam surah Adz Dzaariyaat: 56,

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku“

Jadi makhluk ini untuk mengenal Allah bagaimana? Allah datangkan ilmu tentang mengenal nama dan sifat Allah. Dari nama, sifat dan perbuatan itulah kita mengenal Allah. Asma ul- husna itu adalah nama-nama Allah.

Di dalam diri kita memang ada nama-nama Allah sama ada ia bercahaya atau tidak maka ia kena diaktifkan dengan berzikir. Kalau tidak diaktifkan maka ia adalah seperti permata yang tidak bersinar. Apabila tidak bersinar maka cahayanya tidak akan keluar.

Kita boleh nampak benda apabila ada cahaya begitu juga dengan hati kita, sama ada ia bercahaya atau tidak kena digilap dengan zikir.

Namun tidak semestinya kita berzikir dengan menyebut 99 nama-nama Allah itu saja. Di dalam tafsir Ibnu Katsir juga disebutkan, Asma-ul-Husna tidak terhad kepada 99 nama saja.

Ia berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad dari Abdullah bin Masud, Rasulullah bersabda,

“Tidaklah suatu kesedihan menimpa seorang pun lalu ia berucap, “Ya Allah aku hamba-Mu, anak hamba lelaki-Mu dan anak hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan Mu. Keputusan-Mu berlaku padaku, ketentuan-Mu terhadapku adalah adil.

Aku memohon kepada-Mu dengan semua Nama yang menjadi milik-Mu yang dengannya Engkau menamai diri-Mu, Engkau menurunkannya dalam Kitab-Mu, Engkau mengajarkannya kepada seorang dari makhluk-Mu atau Engkau mengkhususkan nama itu dalam ilmu ghaib yang ada di sisi-Mu.

Jadilah al-Quran yang mulia ini sebagai penenteram hatiku, cahaya dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku,” melainkan Allah menghilangkan duka dan kesedihannya serta menggantinya dengan kegembiraan.”

Ditanyakan, “Wahai Rasulullah, tidakkah kami mempelajarinya?” Baginda menjawab, “Tentu, setiap orang yang mendengarnya harus mempelajarinya” Wallahu a’lam

Istiqamah selepas Ramadhan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker