Warganet suarakan rasa terkilan lihat majlis tahnik anak Siti & Datuk K
Warganet suarakan rasa terkilan lihat majlis tahnik anak Siti & Datuk K. Dunia maya terus bergelora dengan rasa tidak puas hati orang ramai yang mempertikaikan perjalanan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan.
Sekali lagi membabitkan golongan selebriti dan agamawan, sejak kelmarin gambar-gambar majlis mentahnik anak kedua Siti Nurhaliza Tarudin yang diadakan baru-baru ini.
Menerusi hantaran media sosial penyanyi Siapa Tak Mahu itu itu dapat dilihat majlis tersebut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad, dan tiga penceramah terkenal Azhar Idrus, Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain.
Selain tahnik, Siti Nurhaliza dan suaminya Khalid Mohamad Jiwa turut mengadakan majlis akikah dan maulid untuk Muhammad Afwa pada 28 April lalu.
Ketika orang ramai dikekang daripada melakukan perjalanan rentas negeri – termasuk beberapa hantaran tular membabitkan kekecewaan kerana gagal menziarahi ibu bapa yang sakit atau meninggal dunia – apa yang dipaparkan itu cepat mengundang rasa kurang senang.
Misalnya warganet mempertikaikan alasan Zulkifli dan Azhar menghadiri majlis tersebut kerana mereka dikatakan tinggal di luar Selangor atau Kuala Lumpur.
Pengguna media sosial mempersoalkan ketegasan pihak berkuasa mengenakan larangan dan pengawasan prosidur operasi standard (SOP) ke atas orang kenamaan dan selebriti.
Salah seorang pengguna Twitter @FiqhTabayyun berkata: “Bayangkan Tok Ti, dalam ramai-ramai yang puji doa kelahiran Afwa ni, ada orang yang tertindas, nak jumpa makpak sakit pun tak boleh, doakan yang tak baik kat keluarga Tok Ti, dan bayangkan, doa orang-orang tertindas ni yang makbul. Macam mana?” ciapnya.
Mahu tindakan diambil
Sebelum ini, anak tiri Siti Nurhaliza, Asyraf Khalid dan isterinya, Tya Ariffin, turut mengundang kontroversi apabila memuat naik gambar serta video menunjukkan suasana penyanyi tersohor tersebut menerima kunjungan ramai tetamu di sebuah hospital swasta di Selangor selepas selamat melahirkan Muhammad Afwa pada 19 April.
Pasangan suami isteri itu kemudian memohon maaf dan memadam hantaran tersebut.
Sementara itu, dalam bebenang ciapan yang sama, terdapat juga warganet yang menegur secara sinis sikap Zulkifli yang dikatakan sering melanggar SOP.
Untuk rekod, Oktober lalu Zulkifli dijangkiti Covid-19 selepas pulang dari Sabah yang ketika itu mengadakan persiapan untuk pilihan raya negeri (PRN). Dia kemudian menghadiri beberapa majlis terbuka selepas itu.
Bagaimanapun bekas mufti Wilayah Persekutuan berkenaan meminta maaf atas kejadian berkenaan.
Senator terbabit juga menjadi sasaran tidak puas hati orang ramai apabila menghadiri majlis pernikahan Neelofa dengan bekas peserta rancangan realiti televisyen PU Riz pada 27 Mac lalu.
Pihak berkuasa sudah mengenakan kompaun kepada pasangan terbabit serta beberapa individu lain yang menghadiri majlis resepsi berkenaan. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Zulkifli adalah antara orang yang dikenakan tindakan berkenaan.
Justeru ada pengguna Twitter mencadangkan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap keluarga Siti Nurhaliza kerana melanggar SOP Covid-19.
Misalnya @BAD_ARSILA yang berkata: “Harap PDRM bolehlah saman tokti dan keluarganya.. sebelum isu tahnik banyak ja event diaorang buat tapi tak ada jugak tindakan.. stalk lah IG (instagram) Tok Ti tu,” ciapnya.
tokti & family golongan ‘kayangan’ lah mana boleh kena saman, tak reti bahasa ke!