Laksana segera PKP 3.0 – Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar
PETALING JAYA: Laksana segera PKP 3.0 bagi membendung penularan pandemik dan menurunkan bilangan kes Covid-19 di negara ini kepada satu digit.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berpendapat, pergerakan manusia perlu dihadkan dan diperketatkan kerana PKP 2.0 ternyata tidak berkesan.
Malah, kata beliau, bukan sahaja rentas negeri tidak boleh dibenarkan, larangan rentas daerah juga mungkin perlu dikuatkuasakan.
“Langkah terdekat, kerajaan mesti mengehadkan pergerakan di kawasan-kawasan yang terlalu banyak kes. Pemantauan rapi hendaklah dibuat terhadap pergerakan dan kes dalam komuniti seperti penuntut institusi pengajian tinggi dan sekolah,” katanya.
Dr. Zainal Ariffin berkata, PKP 3.0 juga memerlukan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu jika mahu bilangan kes Covid-19 benar-benar turun.
“Kes meningkat hampir 4,000 sehari dan mungkin naik lagi. Kes dalam komuniti banyak dan meluas akibat ramai orang tidak patuh SOP.
“Vaksin tidak dapat kurangkan kes dalam masa terdekat kerana liputan yang masih rendah. PKP 3.0 boleh dilaksanakan tetapi mungkin untuk sesetengah negeri sahaja seperti Selangor, Sarawak dan Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, keputusan berubah-ubah adalah punca darurat dan PKP 2.0 gagal dalam mengekang penularan Covid-19.
“Bukan saya kata kerajaan lemah atau tidak serius tetapi banyak sangat kelompongan dan sentiasa berubah-ubah khususnya apabila menghadapi tekanan atau ditekan oleh netizen (rakyat).
“Jadi, apa tujuan darurat dilaksanakan? Sejak dilaksanakan, kerajaan dilihat seakan-akan nampak ‘sibuk’ bagi mengekang pandemik ini, tetapi tiada keberkesanannya,” katanya di sini semalam.
Dr. Ahmad Shukri berkata, akibat keputusan yang ‘flip-flop’ itu, akhirnya rakyat menjadi pening serta keliru apa perlu dilaksanakan.
Katanya, bazar Ramadan sudah dijangka menjadi antara penyebab penularan Covid-19 malah di pusat-pusat beli belah juga penyumbang ke arah peningkatkan kes positif pandemik tersebut.
“Tetapi kerajaan kita agak berlembut atau serba salah kerana cuba hendak membantu rakyat mencari pendapatan,” katanya. – UTUSAN
You must be logged in to post a comment.