‘Abang tak tahu filem kutip RM3 juta’

KUALA LUMPUR 22 April 2021 – Temubual pengarah, Mamat Khalid di Studio Merdeka, di sini hari ini. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA: Filem 18 Puasa di Kampong Pisang sudah meraih kutipan RM3 juta dalam tempoh singkat tetapi pengarahnya, Mamat Khalid hanya tahu kejayaan filem itu melalui bacaan di laman sosial.

Sutradara terkenal itu mendedahkan, beliau sendiri tidak ambil pusing jumlah kutipan filem terbarunya yang disiarkan di Astro First itu malah hanya tahu filem berkenaan mengutip lebih RM2 juta dalam tempoh seminggu, melalui Facebook.

Sebagai pengarah, kata Mamat, beliau hanya terlibat dalam aspek produksi dan tidak bertanggungjawab dalam hal-hal lain yang membabitkan kos seperti logistik.

Hal ini, menurutnya, membataskan hak beliau untuk ambil tahu soal keuntungan filem tersebut, sebaliknya sebagai pihak yang diamanahkan oleh penerbit beliau hanya fokus kepada penghasilan karya yang berkualiti sesuai dengan kehendak pihak penerbit.



“Abang pun tahu (keuntungan mencecah RM3 juta) bila baca Facebook. Sebenarnya abang pun tak tahu berapa, kerana kami dikomisenkan untuk buat dengan Astro. Memang syarikat Enjit Semut Productions yang buat, tapi is based on commissioning, maknanya memang milik Astro.

“Jadi maknanya kami hanya buat produksi. Abang hanya mengarah, jadi segala logistik itu semua bukan hak kami untuk tahu. Jadi walaupun kejayaan ini berapa juta sekalipun, kami hanya dengar sahajalah. Pengiraan itu kami tak tahu berapa,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Filem 18 Puasa di Kampong Pisang, yang terkini mengutip lebih RM3 juta memaparkan hasil gabungan dua karya ulung terdahulu Mamat iaitu 16 dan 17 puasa. Ia mengisahkan sekumpulan penduduk Kampung Pisang yang masih tegar melakukan kemungkaran meskipun dalam bulan Ramadan.

Antaranya, watak Barkoba lakonan Bell Ngasri yang menjadi tular dalam media massa gara-gara karakter nakalnya yang tidak berpuasa dan sinonim dengan plastik hitamnya, di samping watak baharu yang diperkenalkan iaitu Tyson 2 lakonan Jaafar Onn yang turut menambat hati penonton



Neelofa bukan lagi duta Swarovski

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata tindakan pengkritik filem, terutama dari kalangan Melayu sendiri yang terlalu asyik melabel filem tempatan sebagai tandus idea dan sentiasa bergelumang dengan genre hantu, adalah tindakan yang tidak wajar.

Sebaliknya, Mamat berpendapat, golongan pengkritik ini harus melihat realiti industri di persada global yang juga sentiasa mempertaruhkan genre sedemikian untuk menarik penonton.



“Apa bezanya (filem tempatan dengan asing)? Oh bila tentang Melayu, apalah Melayu ini asyik dan terlalu suka cerita hantu. Hollywood, setiap bulan keluarkan cerita hantu. Di seluruh dunia pun keluarkan cerita hantu. Thailand misalnya, lagi banyak filem hantu.

“Dia akan jadi macam ini, sebab golongan ‘orientalis Melayu’ sekarang. Dia Melayu, tapi dia tengok luar dari perspektif Melayu, kononnya dia tengok Melayu ini dari New York, dia duduk di sana dan komen, apa lah Melayu ni. Jadi janganlah nak cakap orang kita suka cerita hantu misalnya, sebab hakikatnya di seluruh dunia lagi banyak penerbit genre sebegini,” katanya.

Nama Mamat Khalid menjadi sohor apabila filem komedi arahannya seperti Man Laksa, Rock, dan Hantu Kak Limah Balik Rumah berjaya menarik perhatian penonton.

Kemuncaknya pada 2018, filem Hantu Kak Limah berjaya mencatat kutipan RM36.23 juta sekali gus menjadikannya filem pecah panggung ketika itu. – UTUSAN



‘El Risitas’, Lelaki Di Sebalik Meme Popular Meninggal Dunia – BBC

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker