Resepi Lontong dan Kuah Lodeh


Resepi Lontong Dan Kuah Lodeh

Masa Penyediaan: 45 minit,
Masa Memasak:30 minit,
Jumlah Hidangan:10-15 orang

Resepi Lontong dan Kuah Lodeh, yang selalu dihidangkan buat sarapan pagi atau juga hidangan di hari raya. Ada orang mengatakan Lontong dan Kuah Lodeh tidak patut dihidangkan di hari raya, tapi ikut selera masing-masing yang mungkin juga berlainan tempat adalah tidak sama.

Walau apa pun, lontong ni adalah makanan kegemaran Che Nom kerana ada banyak bahan sayuran dalam kuahnya, yang juga dimasak bersama udang segar dan dipadankan pula dengan keenakan Sambal Sotong Kembang Berkacang yang pedas dan berlemak.

Boleh juga dimakan bersama sambal ikan bilis. Untuk hidangan tambahan kita taburkan bersama tempe goreng rangup dan ikan bilis goreng kerana terpikat dengan cara ibu saudara yang berasal dari Acheh menghidangkan Lontong di majlis rumah terbuka nya. Cubalah…Pasti sedap!

Bahan-Bahan:

2 inci lengkuas, dititik
2 batang serai, dititik
500 gram udang
1 kotak santan segera
ATAU santan dari 1/2 biji kelapa
1 batang karot, potong panjang
7-8 batang kacang panjang, potong
1/2 biji sengkuang
1 bungkus tempe, potong kiub
3 ketul tauhu, potong kiub
1 genggam suun
3-4 keping fucuk, rendam lembut dan potong 1 inci panjang
sedikit kubis cincang (anggaran 1/4 bahagian)

Bahan untuk kisar halus:

1 biji bawang besar
2 inci kunyit hidup
ATAU 2 sudu kecil kunyit serbuk
1 inci halia
3 ulas bawang putih
3 sudu besar udang kering, rendam bersama air seketika
Bahan untuk dihidang bersama:
nasi impit, rebus
telur, rebus
tempe, hiris nipis dan goreng garing (optional)
ikan bilis kecil, goreng (optional)

Cara Penyediaan:

Bersihkan udang, buang kepala dan kulit (jika suka).

Panaskan 3 sudu besar minyak dan tumis bahan kisar halus sehingga kekuningan dan naik bau dan kemudian masukkan lenkuas dan serai yang dititik.

Masukkan udang dan kacau seketika.

Kemudian tuang santan cair dan masak hingga mendidih.

Masukkan sayur karot, kacang panjang, sengkuang sehingga lembut.

Masukkan pula tempe, tauhu, suun, fucuk dan kubis sehingga lembut.

Setelah lembut masukkan pula santan pekat dan masak di atas api yang perlahan. Teruskan mengacau perlahan-lahan supaya santan tidak berketul.

Tambahkan air yang secukupnya jika kuah terlalu pekat.

Hidangkan bersama nasi impit, telur rebus, tempe goreng dan ikan bilis goreng.

Sudukan sambal ikan bilis atau sambal sotong rendam untuk melengkapkan hidangan.

Tips:

Dicadangkan supaya anda gunakan kunyit hidup sebagai bahan utama kerana rasa dan aroma kunyit hidup menambahkan lagi kesedapan kuah lodeh.

Resepi Che Nom

Jom Cuba Lemang Cawan Kukus Sangat Mudah, Tak Perlu Susah-Susah Nak Bakar!

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker