Pemuda MIC gesa tubuh suruhanjaya siasat kematian Ganapathy
Pemuda MIC hari ini mendesak Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin menubuhkan sebuah suruhanjaya khas yang bebas bagi menyiasat kematian A Ganapathy yang didakwa dipukul ketika dalam tahanan polis.
Setiausahanya, G Theeageesh berkata ini selepas hasil laporan bedah siasat Ganapathy mendapati mendiang mati akibat kecederaan teruk di kaki dan bahu.
“Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan mendesak Hamzak menubuhkan sebuah suruhanjaya khas yang bebas di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kadar segera untuk menyiasat kes ini secara lebih mendalam dan teliti.
“Kami berharap agar penubuhan suruhanjaya ini bukan sahaja dapat menyelesaikan kes A Ganapathy malah beberapa lagi kes terkait kematian dan kecederaan ketika berada di bawah tahanan pihak polis,” katanya kepada pemberita di Putrajaya pagi tadi.
Terdahulu, sayap MIC itu menyerahkan satu memorandum kepada menteri untuk menggerakan satu usaha yang menyeluruh secepat mungkin bagi mencari penyelesaian terhadap kes-kes yang melibatkan kematian dan kecederaan ketika dalam tahanan pihak polis.
Memorandum itu diterima oleh setiausaha politik kepada menteri Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohammad.
“Kegagalan Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis untuk memberi satu maklum balas yang lengkap terhadap dakwaan dalam kes ini hanya akan terus menjejaskan reputasi kedua-dua institusi yang terlibat,” katanya.
Ganapathy yang merupakan seorang peniaga susu lembu dan mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun, meninggal dunia pada 18 April di Hospital Selayang.
Dia ditahan oleh polis pada 24 Februari sebelum dibebaskan dan dimasukkan oleh pihak polis di Hospital Selayang.
Pada 11 Mac lalu, ibu mendiang, S Thanaletchumy membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak, mendakwa anaknya dipukul ketika dalam tahanan sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong.
Polis nafi video tular lelaki dipukul ada kaitan kes Ganapathy
Dalam laporan itu, Thanaletchumy, 60, berkata anaknya ditahan pada 24 Februari bagi membantu siasatan terhadap seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.
Anaknya dalam keadaan sihat ketika ditahan walaupun mempunyai sejarah penyakit diabetes dan masalah jantung, menurut laporan itu lagi.
Semalam, peguam keluarganya K Ganesh memberitahu Malaysiakini bahawa hasil bedah siasat menemui Ganapathy mati akibat kecederaan teruk di kaki dan bahu.
Sementara itu, Theeageesh juga menggesa Hamzah supaya menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
“Menteri wajar memberi pertimbangan untuk usaha penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebagai salah satu langkah utama dalam menangani kes – kes seperti ini.
“Kami berpendapat bahawa adalah sangat penting pada ketika ini untuk mempunyai satu mekanisme khas yang bertujuan untuk memberi semak dan imbang terhadap segala kegiatan pihak polis,” katanya.
Untuk rekod, pada 19 Ogos, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 susulan mendapat bantahan daripada pelbagai pihak dan digantikan dengan RUU baru.
RUU IPCMC 2019 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2019 bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia dan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.
You must be logged in to post a comment.