Al-Fatihah: ‘Abang Pergilah Mama Reda’. Adik Putra Airell Asraq Meninggal Dunia Akibat Kanser Hati

Kota Bharu: “Abang pergilah, mama reda. Mama tak kuat tengok abang dalam keadaan begini,” kata ibu kepada kanak-kanak penghidap barah hati, Nurul Asyikin Razak sebelum anaknya dijemput Ilahi, jam 10.30 malam kelmarin.

Nurul Asyikin, 32, berkata, beberapa minit selepas kata-kata itu dibisikkan di telinga Putra Airell Asraq Mohd Aqimie, 8, anaknya itu menghembuskan nafas terakhir.

Putra Airell Asraq disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.



Kata Nurul Asyikin, dia tidak sanggup melihat keadaan anaknya yang semakin lemah dan tidak sedarkan diri.

Malah, sejak seminggu lalu, otak Putra Airell Asraq disahkan lumpuh dan hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

“Putra Airell Asraq dimasukkan ke wad di HUSM sejak 1 April lalu kerana chemo port di dadanya membengkak serta bernanah. Selepas itu, dia terus dipantau di wad sehinggalah tahap kesihatannya semakin menurun.

“Putra Airell Asraq bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan minggu lalu kami dimaklumkan doktor otaknya sudah lumpuh dan diminta bersedia berdepan semua kemungkinan.



“Sejak keadaan Putra Airell Asraq kritikal, saya tidak pernah tinggalkannya dalam tempoh lama. Alhamdulillah dia pergi dengan tenang,” katanya ditemui di rumah ibunya di Kok Lanas di sini, semalam.

 

NURUL Asyikin menunjukkan gambar Putra Airell Asraq. FOTO Siti Rohana Idris
NURUL Asyikin menunjukkan gambar Putra Airell Asraq. FOTO Siti Rohana Idris

 

Nurul Asyikin berkata, beberapa hari lalu, dia meminta kebenaran pihak hospital agar dua lagi anaknya, Putra Aqeef Asraq, 4, serta Putra Ariq Aisy Asraq, 7, dapat bertemu abang mereka dan permohonan itu diluluskan.



“Sebaik abang ngah (Putra Ariq Aisy Asraq) pegang tangan Putra Airell Asraq dan memberitahu mereka datang menziarah, dalam keadaan koma, air mata Putra Airell Asraq berlinang dan pertemuan itu kali terakhir antara mereka tiga beradik.

“Alhamdulillah saya sempat tunaikan banyak permintaan Putra Airell Asraq termasuk bertemu idolanya, Ustaz Ebit Lew yang datang menziarah di wad walaupun ketika itu dia tidak sedarkan diri,” katanya.

Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Kalong di sini, jam 10.15 pagi semalam.

Kisah anak syurga itu mengundang pilu dalam kalangan pembaca berikutan keengganannya dijemput Ilahi kerana ingin menjaga kedua ibu bapanya.



Putra Airell Asraq yang membahasakan dirinya sebagai abang menjalani pembedahan membuang sebahagian hati diserang sel barah pada 2016 namun sel itu kembali menyerang penghujung tahun lalu.

 

 “Ramai kawan abang dah mati, tapi abang tak mahu mati lagi… nak jaga mama dan papa,” begitulah ayat yang sering dituturkan kanak-kanak penghidap kanser hati tahap empat, Putra Airell Asraq Mohd Aqimie.

Kata-kata itu diucapkan kanak-kanak berusia lapan tahun itu setiap kali teringatkan mimpinya yang didatangi beberapa rakan yang sama-sama menerima rawatan akibat kanser di hospital dan kini sudah dijemput Ilahi dalam usia yang sangat muda.



Putra Airell Asraq yang membahasakan diri sebagai abang berkata, dia kerap bermimpikan rakan yang sudah meninggal dunia akibat pelbagai jenis kanser dan mengajaknya untuk sama-sama ke syurga.

“Mereka semua mengajak abang ke syurga tapi abang tak mahu mati lagi sebab nak jaga mama dan abang ingin sangat untuk bersekolah semula.

“Abang nampak syurga macam seronok tapi buat masa ini hanya mampu doakan mereka semua gembira di sana selain mendoakan pada diri sendiri agar kembali sihat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kedai Mulong, di sini, semalam.

Anak sulung daripada tiga beradik dan sangat petah berkata-kata itu disahkan menghidap kanser hati pada usia dua tahun namun masih mampu dikawal kerana berada di tahap dua dan sebagai rawatan ketika itu, sebahagian hatinya sudah dibuang bagi mengelakkan sel kanser merebak.



Bagaimanapun empat tahun selepas itu, kesihatan Putra Airell Asraq kembali diuji apabila mengadu sakit sendi bahagian kaki dan menyebabkan tulang kaki dan platelet darahnya rendah menyebabkan dia kembali dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sebelum disahkan sel kanser kembali menyerang dan kali ini terus ke tahap empat.

Ibunya, Nurul Asyikin Razak, 32, berkata, setakat ini murid Sekolah Kebangsaan Mulong itu sudah menerima lebih 30 kali rawatan kimoterapi sehingga menyebabkan dia seolah ‘kebal’ dan tidak mampu untuk merintih sakit lagi.

 

NURUL Asyikin memujuk Putra Airell yang menderita kanser hati. FOTO Siti Rohana Idris
NURUL Asyikin memujuk Putra Airell yang menderita kanser hati. FOTO Siti Rohana Idris

 

“Airell pernah berdepan dengan keadaan kritikal pada penghujung tahun lalu yang mana doktor seakan memberi isyarat kepada saya bahawa Airell boleh pergi pada bila-bila masa tapi saya enggan mengalah sebaliknya tetap memberi kata-kata semangat kepadanya agar terus berjuang melawan penyakit itu.

“Akhirnya Airell terselamat daripada fasa kritikal namun masih perlu hadir ke hospital untuk menjalani kimoterapi dan paling terbaharu dia dimasukkan ke hospital adalah minggu lalu apabila platelet darahnya sekali lagi menurun dan menyebabkan beberapa anggota badannya keluar darah termasuk gusi dan ketika buang air besar.

“Keadaan perut Airell juga semakin membengkak dan walaupun enggan tidak berputus asa, kami sentiasa bersedia untuk kehilangannya bila-bila masa namun dalam masa yang sama tetap berharap ada keajaiban berlaku,” katanya dalam nada sebak.

Terdahulu kanak-kanak itu menerima kunjungan wakil daripada Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dan Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) diwakili Ketua Aktivisnya, Saripah Ismail yang tampil bertanya khabar serta menghulurkan sumbangan barangan keperluan.

Nurul Asyikin yang berhenti kerja sebagai jururawat sejak enam tahun lalu selepas anaknya disahkan menghidap kanser hati hanya mengharapkan suami, Mohd Aqimie Zulkifli, 37, sahaja yang bekerja sebagai mekanik bagi menyara hidup mereka lima beranak.

“Saya akui kos rawatan dan perbelanjaan untuk Airell agak besar lebih-lebih lagi Airell hanya bergantung kepada susu khas sahaja namun walau apa acara sekalipun, kami sanggup berkorban untuk Airell demi mendapatkan rawatan terbaik untuknya,” katanya yang boleh dihubungi di talian 018-9097070.-HM

Al-Fatihah: Penerima Hati Pertama, Afiq Ikmal Meninggal Dunia

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker