Keberkatan sahur

Bukan sekadar makan dan minum, tapi persiapan diri sempurnakan ibadah

1. RASULULLAH ﷺ sangat menggalakkan kita umat Islam agar bersahur. Dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah ﷺ menyebutkan:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
“Bersahurlah kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” (HR al-Bukhari)

2. Timbul persoalan di sini, mengapa Rasulullah ﷺ menyifatkan sebagai sahur itu memiliki keberkatan? Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam Ibn Daqiq al-Aid menjelaskan bahawa keberkatan sahur itu boleh dibahagikan kepada dua aspek. Dari aspek duniawinya sahur memberikan tenaga persiapan untuk orang yang berpuasa. Kata beliau:

قُوَّةِ الْبَدَنِ عَلَى الصَّوْمِ وَتَيْسِيرِهِ مِنْ غَيْرِ إِضْرَارٍ بِالصَّائِمِ
“(Sahur) memberikan kekuatan badan buat yang berpuasa dan mempermudahkan urusan tubuh tanpa menggugat orang yang berpuasa.

3. Dari sudut akidah pula, sahur pada hakikatnya memberikan jatidiri yang jelas buat Muslim. Ini kerana sahur membezakan antara puasa kita dengan puasa agama lain. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Rasulullah dalam sabdanya:

إنَّ فصلَ ما بين صيامِنا وصيامِ أهلِ الكتابِ ، أكلةُ السَّحورِ
“Perbezaan puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah dengan kita makan ketika sahur.” (HR al-Nasa’i)

4. Sahur juga menjemput doa para malaikat. Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah menjelaskan:

فَإِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ
“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya mendoakan buat mereka yang bangun sahur.” (HR Ahmad)

Bayangkan andai kita menyedari bahawa perbuatan sunnah ini bukan sahaja mempersiapkan tubuh kita untuk melakukan ibadah, malah orang yang bersahur akan didoakan oleh Allah dan para malaikat! Maka apakah keberkatan yang lebih dicari berbanding reda Allah sendiri?

5. al-Imam Ibn Rajab menukilkan juga beberapa perkara yang menunjukkan akan keberkatan sahur seperti persiapan jiwa kita untuk bangun awal beribadah selain mempersiapkan kita untuk solat subuh berjemaah yang terkandung di dalamnya pahala yang tidak terhitung.

6. Oleh itu kita semua harusnya menyedari bahawa bersahur bukan sekadar makan dan minum tetapi persiapan diri untuk menyempurnakan ibadah puasa, ibadah yang Allah khususkan buat diriNya sendiri seperti yang disebutkan di dalam hadis.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker