Bisa lagikah Mahathir PRU-15?
TUN Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri keempat dan ketujuh ini masih berterusan ‘dipantau’ oleh pesaing politiknya tanpa jemu.
Terbaharu, ura-ura Perikatan Nasional (PN) mahu memikatnya, dengan Utusan Malaysia difahamkan seorang dua pemimpin kalangan ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah ketemu dengan negarawan itu.
Dr. Mahathir telah membina banyak rukun untuk menjadi satu legenda. Kisah hidup beliau sudah pun menjadi pementasan Istana Budaya yang popular, masih belum lengkap sepenuhnya. Kemungkinan ia mempunyai satu dua babak lagi dalam gelanggang akhir, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menarik untuk persembahan seterusnya.
Dr. Mahathir sememangnya masih menjadi bahan berita walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri, Februari tahun lalu. Beliau biasanya berjanji akan menjauhkan diri dari arena kerajaan dan politik selepas bersara. Namun, tetap ada sesuatu mengenai diri beliau yang terus bermain di ingatan dan menarik perhatian orang ramai.
‘Mujahid jangan salah masuk gelanggang’
Pengumuman awal beliau hanyalah buat seketika sahaja, sama ada dirancangkan atau selepas difikirkan semula. Tidak lama kemudian, Dr. Mahathir mula memberikan komen dalam hampir semua topik – daripada topik-topik kepentingan orang Melayu, ekonomi, mahupun politik negara.
MAHATHIRISME
Walaupun menjangkau usia emas memasuki 96 tahun pada 10 Julai ini, Mahathir ataupun lebih tepat Mahathirisme – jika istilah tersebut boleh digunakan untuk menerangkan segala berkaitan Mahathir – seolah-olah meresap dalam kehidupan rakyat Malaysia.
Mahathir menjadi Mahathirisme dalam banyak cara. Beliau mempunyai cara sendiri dalam melakukan sesuatu. Tidak ramai yang mempunyai kehebatan pemikiran dan kekuatan jasmani untuk mencapai apa yang telah beliau capai.
Dasar Pandang Ke Timur yang dipraktikkan beliau selepas menjadi Perdana Menteri pada awal 1980-an membawa budaya kerja ala Jepun dan Korea dengan sasaran sampingan untuk tidak bergantung kepada barangan Inggeris. Pada April 1987, beliau hampir kehilangan takhta UMNO sekali gus Perdana Menteri ketika menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dengan hanya kelebihan 43 undi dalam pemilihan presiden partinya.
Sebaik sahaja Mahkamah Tinggi mengharamkan UMNO pada 1988 kerana menyalahi Seksyen 12 Akta Pertubuhan 1966, beliau merubah UMNO dengan pantas menerusi penjenamaan ke UMNO baharu. Daya juang beliau terserlah dengan terus mententeramkan keadaan dua tahun kemudian dengan mandat dua pertiga kekal di tangan UMNO dalam pilihan raya umum 1990. Perstrukturan semula UMNO diteruskan. Timbalannya, Ghafar Baba digantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1993.
Pada tahun sama juga, Dr. Mahathir mencetuskan kemurkaan raja-raja dengan meminda Perlembagaan berkenaan kekebalan raja-raja Melayu berikutan peristiwa kecederaan seorang jurulatih hoki. Akta yang penuh kontroversi itu meletakkan raja-raja di bawah lingkungan kedaulatan undang-undang.
Semasa menghadapi krisis kewangan dunia 1997, Dr. Mahathir melancarkan beberapa perubahan dalam ekonomi dan asas fisikal negara. Beliau dengan berani melupuskan Ringgit Malaysia di luar negara, menjadikan mata wang itu tidak sah diperdagangkan. Ini menyebabkan mata wang ringgit melimpah masuk ke dalam negara.
PEMIKIRAN
Beliau memberikan pengecualian cukai sebagai insentif kepada mereka yang membawa masuk semula wang yang banyak ke dalan negara. Seterusnya menghalang pengaliran modal ke luar negara. Tindakan ini dicemuh daripada pelbagai kumpulan. George Soros, raja pelaburan mata wang terkenal mempersendakan Dr. Mahathir dengan menyatakan tindakan itu mengundang kebinasaan. Sebaliknya Soros terperanjat bila tindakan Mahathir yang ‘kejam’ itu mendatangkan hasil kerana Malaysia berjaya mempertahankan kestabilan kewangannya tanpa perlu mengambil pinjaman Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) seperti Indonesia dan Thailand.
Gambar Presiden Indonesia, Suharto yang terpaksa menandatangani Letter of Intent (LoI) IMF pada 15 Januari 1998 sambil diperhatikan momen itu oleh bos IMF, Michael Camdessus yang menyilangkan kedua lengan di dada, pantas mengangkat imej Malaysia sekali gus kewibawaan Dr. Mahathir.
Serangan pada institusi raja ‘test water’ sebelum lebih ekstrem
Mahathir menjadi Mahathirisme dalam banyak cara. Beliau mempunyai cara sendiri dalam melakukan sesuatu. Tidak ramai mempunyai kehebatan pemikiran dan kekuatan jasmani untuk mencapai apa yang beliau telah capai.
Musa Hitam, Ghafar Baba, Tengku Razaleigh, Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak antara yang ‘kecundang’ kepada beliau.
Tanpa Dr. Mahathir, mustahil Pakatan Harapan dapat menumbangkan Barisan Nasional yang berkuasa lebih enam dekad pada 9 Mei 2018.
Dr. Mahathir berani mengutarakan pendapat dan bertindak sementara yang lain hanya berani berfikir. Dipercayai inilah yang didambakan PN kerana Mahathir telah membuktikan beliau sentiasa berjaya mencorakkan sesuatu – dalam keadaan aman dan juga semasa berlaku pergolakan