Guna dana KWAN, kerajaan PN sudah habis modal?


CYBERJAYA – Keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan program imunisasi kebangsaan adalah amat membimbangkan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, ia merupakan satu indikator jelas bahawa kerajaan PN seolah-olah telah kehabisan modal untuk menjana pendapatan negara bagi tujuan pembiayaan tersebut.

Menurut beliau, lebih merisaukan lagi apabila kerajaan PN telahpun meluluskan peruntukan tambahan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebanyak RM5 bilion pada bulan lepas tetapi masih lagi mahu mendapatkan dana tambahan melalui KWAN.

“Ini adalah kerisauan yang telah saya nyatakan sebelum ini apabila kerajaan PN meluluskan pindaan kepada Ordinan Darurat yang membenarkan Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri untuk menggunakan dana negara tanpa perlu melalui sidang Parlimen.

“Kuasa tanpa periksa dan seimbang ini merupakan satu mimpi ngeri buat negara demokrasi kerana sidang parlimen tidak tahu apakah butiran tentang perbelanjaan yang akan dilakukan oleh kerajaan samada ia benar-benar berhemah ataupun tidak, katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mustafa Shah menambah, dana KWAN merupakan pertahanan terakhir negara untuk menghadapi keadaan pada mana sumber asli negara akan kehabisan.

Beliau memberitahu, ia merupakan dana untuk generasi masa hadapan dan adalah amat tidak bertanggung jawab sekiranya kerajaan PN memilih untuk menggunakan masa depan anak cucu kita bagi menampung kegagalan menjana pendapatan negara pada hari ini.

“Saya ingin bertanya kembali kepada kerajaan PN terumatanya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali; mengapa di tengah-tengah kemelut dan krisis COVID-19 ini, negara serantau seperti Indonesia, Vietnam, dan Singapura mampu menjana ekonomi yang lebih baik daripada Malaysia?

“Mengapa Indonesia berjaya mendapatkan pelaburan daripada syarikat gergasi dunia seperti Google dan Amazon sehingga berjaya merancang untuk membangunkan Lembah Silikon Timur di negara tersebut?

“Ke manakah hilangnya pengaruh Malaysia sebagai sebuah negara yang pernah menjadi tumpuan pelabur asing di rantau ini?” soalnya.

Mustafa Shah menyeru kepada kerajaan PN untuk membuka pintu perbincangan melalui sidang Parlimen untuk memastikan samada keputusan penggunaan dana KWAN dan dana negara ini adalah satu keputusan mendesak ataupun terdapat pilihan lain yang lebih baik.

“Gunakan segala usaha mungkin yang ada untuk menjana pendapatan negara yang semakin kritikal ini sebelum memilih untuk ‘memecah’ tabung simpanan untuk masa hadapan,” jelasnya. Edisi 9

Kenapa perlu ‘jarah’ dana amanah untuk vaksin, soal Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker