‘Norma Baru’ Pentadbir sekolah akui dalam situasi sukar

Beberapa pentadbir sekolah mengakui mereka kini berada dalam situasi sukar ekoran penularan wabak Covid-19 yang banyak dikesan di institusi pendidikan itu.

Beberapa orang pengetua dan guru besar dihubungi Malaysiakini mengakui kerja mereka kini semakin bertambah terutamanya bagi memastikan sekolah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurut seorang pengetua di sebuah sekolah di Lembah Klang berkata, dia kini juga perlu lebih kerap berhubung dengan pusat kesihatan daerah dan pejabat pendidikan daerah (PPD) bagi melaporkan perkembangan jika ada jangkitan.

“Sekarang boleh dikatakan kami pengetua-pengetua berada dalam situasi sukar dan tanggungjawab lebih besar bagi memastikan sekolah sentiasa selamat.

“Bukan saja sekolah perlu selamat, kami perlu juga memastikan murid mematuhi SOP ditetapkan sewaktu di dalam sekolah dan juga selepas selesai sesi persekolahan,”

Berdasarkan apa yang diketahui, kata pengetua yang enggan didedahkan identitinya itu, kes Covid-19 yang membabitkan murid tercetus di luar sekolah.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan sejumlah 811 kluster Covid-19 dilaporkan bermula 1 Jan sehingga 25 Mac 2021. Daripada jumlah itu, sebanyak 15 kluster melibatkan pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster prasekolah dan sekolah rendah, serta lima kluster yang melibatkan pusat tahfiz serta madrasah dilaporkan dalam tempoh hampir tiga bulan ini.

Bermula 20 Jan Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan pembukaan semula institusi pendidikan secara bersemuka bagi para pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), termasuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) secara berfasa.

Pada 1 Mac 2021, pembukaan ini diperluaskan kepada sekolah rendah dan prasekolah.

Bagi pengetua di sebuah sekolah di Selangor pula menjelaskan, pihaknya berdepan tugas yang lebih berat untuk memastikan sekolah bebas Covid-19 dan pada masa sama menjawab pertanya ibu bapa.

“Pihak sekolah kerap melakukan proses sanitasi bagi memastikan persekitaran sekolah bebas Covid-19.

“Ada kalanya perlu melayan pertanya ibu bapa jika sekolah ada merekodkan kes Covid-19 yang risau keselamatan anak mereka jika sesi persekolahan diteruskan.

“Namun, kami sebagai pentadbir sekolah tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada ia perlu ditutup atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu seorang guru besar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur menyifatkan mereka mempunyai cabaran besar untuk memastikan sekolah tidak menjadi pencetus kluster baru.

Apatah lagi katanya dengan tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa ketika ini.

“Bukan itu saja, jika sekolah ada merekodkan kes positif kami perlu melaporkan perkembangan semasa kepada pusat kesihatan dan PPD.

“Ia menjadi satu tugas baru dalam sesi persekolahan norma baru,” katanya kepada Malaysiakini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker