‘Kluster binatang’ itu yang lompat parti – Muqharabbin
Gelaran ‘kluster binatang’ oleh seorang pemimpin Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sepatutnya ditujukan kepada mereka yang melompat parti, bukannya yang dikaitkan dengan kes mahkamah.
EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, kata-kata biadap itu sesuai ditujukan kepada mereka yang berkenaan kerana mengkhianat mandat dan undi rakyat.
Beliau berkata, mereka ibarat tiada maruah dan sanggup menjual undi rakyat demi ketamakan kuasa dan menyelamatkan diri daripada dikenakan tindakan mahkamah atas salah laku masing-masing.
“Lihat sahaja beberapa kes termasuklah pemimpin DAP yang dituduh merogol amah, pemimpin PKR dituduh rasuah, salah guna dana J-KOM untuk kepentingan politik, kes video semburit ‘iras-iras’ pemimpin PN pun, sampai ke hari ini, masih tidak dapat disahkan klip video tersebut.
“Ini lebih hina daripada kluster mahkamah yang dianggap beliau sebagai ‘kluster binatang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Muhammad Faiz Na’aman didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa ‘kluster mahkamah’ sebagai binatang politik yang mempergunakan ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.
Muqharabbin berkata, mana-mana pemimpin UMNO yang telah disabitkan atau dituduh di mahkamah hanya tawanan politik untuk dijadikan peluru dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai itu berkata, walhal Perikatan Nasional (PN) lebih ramai kluster yang sepatutnya dihadapkan ke mahkamah.
Katanya, dengan isu Covid-19 yang masih tidak selesai dan lebih membimbangkan, ekonomi negara yang terus merudum, para pelabur lari melabur ke negara lain kerana pengishtiharan darurat politik, beratus ribu rakyat dibuang kerja, rakyat yang semakin memberontak tidak mendapat bantuan, itu sepatutnya menjadi keutamaan pemimpin kerajaan sekarang.
“Jadi, jangan biadap dan jangan rasa kuasa politik itu boleh kekal selamanya. Lebih baik anda memikirkan isu rakyat dan ekonomi negara dan buka sidang Parlimen segera agar rakyat dapat lihat sama ada kuat atau lemahnya kerajaan sekarang.
“Saya sarankan agar pemimpin PN muhasabah diri sendiri, cermin diri sendiri dan usah meludah kelangit, nanti berkahak muka sendiri dan utamakan masalah negara yang tidak mampu ditangani daripada sibuk memikirkan hal politik yang tidak berkesudahan.” katanya. Edisi 9
Pemimpin Umno kecam Faiz, sifatkannya ‘anjing salakan politik’
You must be logged in to post a comment.