Inilah amalan mudah yang meleburkan dosa walau seluas lautan


Taubat dapat meleburkan dosa
“Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi kemaafan kepada mu.” Surah al-Baqarah: 187

Ayat di atas menjelaskan, setiap manusia tidak akan dapat menahan hawa nafsu, kerana itulah, Allah memberikan pengampunan kepada mereka yang terlalai, supaya mereka sedar bahawa mereka adalah hamba yang lemah, dan sering melakukan kesilapan.

Taubat asalnya dari perkataan Arab iaitu Ta ba yang seerti dengan Raja’a membawa maksud kembali. Itu kata Dr. Abdul Rahman Mahmood, Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan bicara.

Menurutnya, seseorang yang beriman kepada Allah S.W.T. sepatutnya tidak melakukan perkara yang dilarang Allah. Namun begitu kadang-kadang, kita terlalai atau terpesong dari mengingati Nya, kerana terpengaruh dengan hasutan hawa nafsu, diperdaya dengan bisikan syaitan, atau juga pengaruh sekeliling seperti rakan-rakan dan sebagainya.

Taubat adalah medium terbaik untuk dekat dengan Allah. Oleh demikian, kita mudah terjerumus melakukan perkara-perkara maksiat, yang jelas dilarang Allah S.W.T. Keterlanjuran yang telah kita lakukan ini, menyebabkan kita jauh atau juga terputus dari tali ikatan Allah S.W.T.

Bagi menunjukkan rasa penyesalan dan mengisytiharkan kekesalan kita, maka taubat merupakan medium terbaik, untuk kita kembali semula kepada pangkuan Allah dengan mengabdikan diri dan akur sebagai hamba Nya. Ia juga sebagai simbolik, kita menginsafi dan mengakui kelemahan kita kepada Allah Rab al-Jalil.

Kenapa Perlu Bertaubat

Hukum bertaubat wajib sebagaimana dalam surah at-Tahrim: 8

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha”

Maka setiap individu perlu melakukan taubat tanpa mengira sama ada dosa yang dilakukan itu kecil mahupun besar walau seluas lautan. Apabila melakukan dosa besar atau kecil hendaklah segera bertaubat dengan sebenar-benar taubat.

Ini kerana, hanya bertaubat sahaja dapat menyucikan diri dan meleburkan dosa maksiat. Malah taubat yang diterima dapat menghindar dari seksaan api neraka.

Bagi dosa-dosa kecil yang dilakukan sama ada secara sedar atau tidak, ia boleh terampun dengan hanya melakukan amal soleh. Segala perbuatan yang baik seperti bersedekah, solat berjemaah, puasa sunat, mengambil wuduk dan sebagainya dapat menghapuskan dosa-dosa kecil.

Taubat merupakan tuntutan dan keperluan yang wajib dilaksanakan bagi setiap manusia yang beriman. Ia merupakan pintu pertama yang perlu dimasuki, oleh setiap hamba Allah yang soleh.

Orang yang ingin mencari jalan bagi mendekatkan diri kepada Allah, perlu melakukan taubat. Apabila taubat telah diisytiharkan bermakna, mereka mampu mencapai tahap warak, zuhud, reda dan mahabbah (kasih dan sayang) Allah.

Melaluinya jugalah, maka keimanan dapat digapai dengan mudah dan kebaikan yang digenggam mempunyai nilai di sisi Allah.

Untuk mencapai kejayaan dan memperoleh keuntungan di dunia mahupun akhirat, taubat merupakan medium yang sangat terbaik diamalkan. Ia berdasarkan kepada petikan ayat Quran dari Surah an-Nur: 31,

“Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah wahai orang yang beriman agar kamu beruntung“

Inilah kuasa taubat

Pernah berlaku satu peristiwa dalam sejarah umat Islam ketika peperangan menakluki Mesir. Tentera Islam berkali-kali gagal dan kalah untuk menawan kota tersebut.

Akhirnya mereka bermuhasabah, dengan melihat kembali setiap kesilapan yang mereka lakukan, atau sunnah yang ditinggalkan. Selepas mereka bertaubat dengan taubat nasuha dan memperbaiki sunnah-sunnah Baginda s.a.w. yang ditinggalkan, maka akhirnya tentera Islam berjaya menawan kota Mesir.

Tambah Dr. Abdul Rahman, ini merupakan salah satu kisah yang boleh dijadikan ibrah bagi umat Islam dalam usaha mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Ingatlah janji Allah dalam surah Ali Imran: 135 bermaksud,

“Dan barang siapa yang melakukan kejahatan dan menganiaya dirinya sendiri, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

Allah S.W.T. menjanjikan kepada orang-orang yang ingkar dan berbuat zalim bahawa, apabila mereka ingin bertaubat, maka Allah akan memberikan keampunan kepada mereka, dan akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai jernih.

Allah S.W.T. juga akan menggantikan keburukan orang-orang yang bertaubat dengan kebaikan-kebaikan. Oleh itu bersegeralah dalam melakukan taubat kerana, kita tidak tahu bila kita akan dipanggil mengadap Illahi.

Dosa Kecil Menjadi Besar

Ditanya adakah dosa kecil boleh menjadi besar? Menurut Dr. Abdul Rahman, segala perbuatan yang melahirkan dosa-dosa kecil seperti menipu, mengutuk, melihat perkara yang haram, dan sebagainya dilakukan secara berterusan, dan tidak bertaubat atau melakukan perbuatan amal makruf, maka dosa yang kecil tersebut boleh menjadi besar.

Selain itu, katanya lagi, meringan-ringankan dosa kecil juga boleh menjadi dosa besar. Apabila sudah menjadi dosa besar, bermakna menjadi satu kewajipan untuk melakukan taubat dengan sebenar-benar taubat.

Bersabda Rasulullah s.a.w.

“Setiap anak Adam mempunyai salah (dosa), dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka yang bertaubat.” HR Tirmizi & Ibn Majah

Oleh itu jagalah solat dengan sebaiknya, dan banyakkanlah dengan membuat amal kebajikan, supaya setiap dosa-dosa kecil yang disedari atau tidak, terhapus dengan sendiri, melalui amal kebajikan tersebut. Ia bukan sahaja dapat menghapus dosa, tetapi dalam masa yang sama dapat menambah bilangan pahala buat bekalan menuju akhirat.

Rebut dan raihlah keberkatan Ramadan ini dengan memohon keampunan Allah sebanyak-banyaknya.

Anggaplah ini Ramadan terakhir untuk kita yang mungkin tidak kita temui lagi. Dengan itu kita akan lebih bersemangat untuk bertaubat memohon keampunan Allah S.W.T.

Air rendaman kurma, amalkan minuman sunnah ini setiap hari, tapi elak simpan lama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker