Kenaikan harga barang, cukup-cukuplah bagi alasan klise

Walaupun baru memasuki fasa awal Ramadan, sudah mula kedengaran isu kenaikan pelbagai harga barangan pengguna. Misalnya, harga barang keperluan harian seperti ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran dilaporkan naik mendadak ketika ini di seluruh negara.

Ironinya, perkara ini berlaku pada setiap musim perayaan yang besar seperti bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri di mana harga barangan akan meningkat secara mendadak sekali gus menjejaskan kemampuan perbelanjaan orang ramai. Jelas perkara ini masih berterusan walaupun pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Sehingga kini apa yang pasti, pengguna terus menjadi mangsa rakus para pemborong dan peniaga yang tamak dan mengambil kesempatan. Ini menyebabkan kos sara hidup rakyat semakin tidak menentu terutama tatkala ancaman pandemik Covid-19.

Walaupun pihak berkuasa melaksanakan pelbagai inisiatif seperti memperkenalkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, meningkatkan pemantauan dan penguatkuasan, malah ramai juga pemborong dan peniaga diheret ke muka pengadilan, namun realitinya senario kenaikan harga barangan tetap terus berlaku dan berterusan.



Misalnya, ayam adalah antara item yang sering mengalami kenaikan harga di musim perayaan. Secara umumnya, ayam adalah antara juadah utama baik ketika berbuka puasa mahupun Hari Raya Aidilfitri. Maka secara logiknya permintaan terhadap bekalan ayam terus meningkat naik secara drastik terutama beberapa hari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ini menyebabkan pembekal dan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga bekalan ayam sesuka hati walaupun kerajaan sentiasa menetapkan harga siling.

Seperti biasa, antara alasan klise yang sering diberikan oleh peniaga ialah pembekal serta pemborong menaikkan harga bekalan, maka mereka tiada pilihan kecuali terpaksa menaikkan harga jualan demi memperoleh keuntungan setimpal. Hakikatnya, harga barangan boleh dikatakan sentiasa naik, iaitu sepanjang tahun dengan pelbagai alasan yang bersilih ganti seperti bekalan tidak mencukupi, berlakunya kenaikan harga minyak, kenaikan harga bahan mentah atau makanan haiwan penternakan, kejatuhan nilai mata wang serta ketidakstabilan keadaan ekonomi negara dan dunia.

BOIKOT

Sebagai pengguna, percayalah kita sudah terbiasa dan cukup lali dengan pelbagai alasan yang terus dikitar semula untuk menghalalkan tindakan menaikkan harga barangan. Dan apa yang pasti, akhirnya pengguna juga yang terus menjadi mangsa keadaan tatkala peniaga menuding jari kepada pembekal dan pembekal pula memberikan seribu satu alasan.



Pada hakikatnya, pengguna zaman sekarang semakin bijak di mana akan mencari barangan lain jika ada alternatif dan dijual pada harga lebih berpatutan tetapi realitinya kita tidak ada banyak pilihan seperti itu. Malah rakyat juga dilihat semakin berhemat dalam berbelanja kerana menyedari hakikat kos sara hidup semakin meningkat, namun apa yang berlaku adalah di luar kawalan mereka. Syor dan cadangan seperti memboikot sesuatu barangan atau peniaga juga dilihat sukar dilaksanakan kerana pengguna sudah tidak ada banyak pilihan. Bagaimana hendak boikot tatkala hampir semua peniaga mengenakan harga yang sama apatah lagi jika ia membabitkan barang keperluan asas?

Justeru, dalam konteks ini mahu tidak mahu kerajaan perlu masuk campur untuk menstabilkan harga barangan bukan sahaja ketika musim perayaan tetapi sepanjang masa. Jelas sekali tindakan penguatkuasaan dan serbuan semata-mata belum mampu memberikan kesan yang diharapkan, apatah lagi secara logiknya mana mungkin penguat kuasa dapat memantau di setiap kedai di seluruh negara pada setiap hari. Dan andai kaedah pengawalan harga ataupun penetapan harga siling jualan kepada peniaga yang dilakukan selama ini juga dilihat belum mampu memberikan kesan yang baik, maka eloklah menukar kaedah dan metodologi strategi kawalan kita.

RUNGUTAN

Dalam konteks ini, beri perhatian serius kepada rungutan peniaga yang mengatakan punca kenaikan harga jualan adalah disebabkan oleh tindakan pembekal dan pemborong tamak yang terus memanipulasikan harga bekalan barangan. Misalnya, apa tindakan kita terhadap kelompok pembekal mahupun pemborong dan sejauh mana ia efektif dan berkesan? Timbul juga persoalan, apakah pembekal dan pemborong terlalu kebal sehingga pihak berkuasa tidak mampu untuk mengawal mereka?



Tuntasnya, hentikanlah perbuatan menganiaya dan membuli pengguna. Kita mahu kerajaan mengambil tindakan lebih tegas dan mengawal harga barangan pada setiap rantaian bekalan, iaitu bermula dari pembekal dan pemborong hinggalah ke peniaga akhir. Baharulah kita dapat mengawal harga sesuatu barangan itu secara keseluruhannya.

Untuk itu, kita berharap kerajaan melalui kementerian terlibat segera menetapkan mekanisme sesuai yang lebih efektif dan efisien supaya dapat mengawal harga keseluruhan rantaian bekalan barangan di pasaran. Hukuman setimpal dan tegas perlu dikenakan pada setiap peringkat supaya semua pelaku terlibat menerima padah dan hukuman sewajarnya agar menjadi iktibar dan pengajaran kepada yang lain. Tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan jangan biarkan pembekal, pemborong dan peniaga terus mencekik darah dan bermaharajalela menindas dan menzalimi pengguna.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker