Suami isteri lapor polis siasat kematian bayi angkat
KLUANG – Sepasang suami isteri di Taman Gunung Selatan di sini membuat laporan polis selepas mendakwa bayi angkat mereka yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada 28 Mac lalu dipercayai akibat didera.
Mohd Nizam Jamaludin, 33, berkata, bayi angkatnya itu dirujuk di HSA oleh doktor di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di sini apabila terdapat kesan lebam di bahagian dahi, pipi dan tangan kanan selain terdapat pendarahan dalam kepala.
Menurutnya, beliau mula menjaga bayi berkenaan bermula Oktober hingga ke Januari lalu ketika berusia dua bulan sebelum diserahkan kepada bapa kandungnya empat bulan selepas itu.
“Bapa kandungnya memberi alasan datuk bayi tersebut mahu melihat cucunya itu namun pada 11 pagi 24 Mac lalu, saya mendapat panggilan daripada ayah kandung bayi berkenaan memberitahu bayi tersebut sudah koma di HSA kerana terjatuh dari sofa.
“Saya curiga dengan alasan diberikan kerana laporan doktor memberitahu bayi berkenaan disyaki didera,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Ahad.
Mohd Nizam berkata, selepas diselidiki, bayi tersebut rupanya diserahkan kepada sebuah keluarga lain di sekitar pusat bandar Kluang.
“Saya tidak pasti apa motif keluarga berkenaan mahu menjaga bayi tersebut sedangkan suami dan isteri berkenaan tidak bekerja serta mempunyai anak yang masih kecil.
“Baru-baru ini saya terserempak dengan isteri keluarga berkenaan yang bertindak memarahi saya kerana masuk campur dalam kes kematian bayi angkat saya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan segera.
“Kami jaga bayi angkat kami dengan sepenuh kasih sayang dan anggapnya seperti anak sendiri. Kami reda dengan kejadian ini. Alhamdulillah dapat menumpang kasih dengannya selama empat bulan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, pihaknya akan memberikan kenyataan akhbar mengenai kes berkenaan dalam masa terdekat.
You must be logged in to post a comment.