Ganja rawat tikus Alzheimer: Respon positif – penyelidik UPM

Ganja rawat tikus Alzheimer: Respon positif – penyelidik UPM

Penyelidik sains neuro Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohamad Aris Mohd Moklas pada 2019 menyimpulkan hasil kajiannya menunjukkan penggunaan ganja berupaya untuk merangsang pertumbuhan neuron baru pada sel otak tikus yang sihat.

Ini katanya, menunjukkan bahan aktif dalam tumbuhan ganja memiliki potensi untuk mengubati penyakit berkaitan dengan kemerosotan fungsi otak, seperti Alzheimer.



Kini, Dr Mohamad masih meneruskan kajiannya, tetapi terhadap tikus makmal yang dihidapkan dengan penyakit Alzheimer.

“Ia (bahan aktif dalam ganja) boleh merangsang neurons. Berguna untuk penyakit seperti Alzheimer.

“Dulu kita uji pada tikus sihat dan berjaya.



“Kini kita uji pada tikus yang ada Alzheimer dan hasilnya menjanjikan.

“Bila tikus ini mengalami Alzheimer, dia mempunyai simptom seperti pelupa, sel otaknya merosot.

“Jadi bila dirawat dengan kanabis ini, dia menunjukkan respon positiflah terhadap gejalanya,” katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara Selasa lalu.

Bidang sains neuro yang diceburi Dr Mohamad ialah cabang keilmuan biologi mengenai struktur atau fungsi sistem saraf dan otak.



Jelasnya, untuk penyelidikan sains neuro ganja perubatan ke atas tikus makmal itu, dia memiliki lima penyelidik dalam pasukannya dan sekitar 20 penyelidik UPM lain turut terlibat, termasuk pakar botani, psikologi dan perubatan.

Pun begitu, Dr Mohamad berkata penyelidikan sebegini memerlukan dana yang besar sambil memberitahu selain sokongan pihak UPM, kajiannya juga kini mendapat dukungan sebuah firma swasta tempatan.

“Jadi bila ada syarikat yang mahu melabur atau menjadi sebahagian daripada penyelidikan ini. Maka memang saya alu-alukanlah.

“Untuk faham mekanisme (sesuatu penyelidikan itu), biasa mengambil tiga ke empat tahun. Maksudnya sebelum kita buat ujian klinikal ada beberapa keperluan yang perlu kita penuhi,” katanya.



Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sirnadia Sdn Bhd Shuhainizam Mohamed Ali ketika dihubungi memberitahu Malaysiakini, syarikat yang diterajuinya telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan UPM pada Ogos 2020.

“Pihak Sinardia berhasrat untuk menyokong kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr Mohamad Aris untuk membuat kajian lanjut mengenai potensi kanabis yang dianggap sebagai tanaman bernilai tinggi.

“Untuk belanjawan penyelidikan yang kita letakkan dalam MOA (dengan UPM) nilainya RM10 juta, khusus untuk penyelidikan Dr Aris.

“Maksudnya selama lima tahun perjanjian itu, dana itu akan diberikan secara berperingkat mengikut dia punya keperluan sehinggalah mencapai nilai RM10 juta itu,” katanya menjelaskan penyelidikan itu kini dalam peringkat memenuhi keperluan dan kepatuhan aspek perundangan daripada pihak berkuasa berkaitan.



Berdasarkan nilai ekonomi ganja perubatan di Amerika Sarikat sebanyak AS$24 bilion setahun, Shuhainizam berkata jika Malaysia membenarkan ganja perubatan, dalam masa lima tahun dijangka nilai ekonomi tempatan produk tumbuhan itu boleh mencecah RM1 bilion.

Stigma pokok ganja


Pengasas Sirnadia Mohd Nasir Hassan pula berkata terdapat banyak kebaikan daripada hasil kajian ini yang bakal memberikan kesan positif terhadap pelbagai aspek industri berkaitan, daripada pertanian kepada farmasi.

“Tetapi sebelum itu kita mahukan semua pihak membuang stigma terhadap kanabis ini.



“Pokok kanabis adalah anugerah tuhan kepada sekalian alam, pasti ada kebaikan tertentu yang wajib kita kaji demi menambah baik kehidupan kita terutama dari sudut ilmu kesihatan berasaskan herba terpilih,” katanya.

Pada 2019, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata penggunaan ganja harus terhad untuk tujuan penyelidikan sehinggalah terdapat lebih banyak bukti menyokong penggunaannya dalam perubatan.

Untuk rekod, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zulkifli Abdullah dilaporkan media pada Feb 2019 berkata pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, namun perlu memperoleh kebenaran Menteri Kesihatan.

Menurutnya, terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus tanpa menggubal akta sedia ada.

Ketika ditanya mengenai Menteri Kesihatan baru Khairy Jamaluddin, kedua-dua Dr Mohamad dan Shuhainizam meletakkan harapan yang tinggi supaya kerajaan dapat mempergiat lebih banyak penyelidikan ganja perubatan.

“Saya nampak dia (Khairy) ini very forward looking. Walaupun dia bukan berlatar belakangkan medical science, tetapi saya rasa pendekatan dia itu sangat terbuka, seharusnya menteri kena bersifat begitulah.

“Mungkin dia terbuka untuk membenarkan lebih banyak kajian dan penyelidikan dalam ganja perubatan.

“Jadi pihak bekepentingan kena beri ruang untuk penyelidikan ganja sekarang ini,” kata Dr Mohamad.

Shuhainizam pula menyifatkan “Khairy daripada generasi yang faham manfaat kanabis dari sudut perubatan.”

“Tengok latar belakang pendidikannya graduan Oxford.

“Dia hidup dengan generasi yang baru ini, semua benda bersikap keterbukaan jadi diapun rasanya ada ke arah situlah (membenarkan kajian ganja perubatan),” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan di Dewan Rakyat supaya kerajaan meneliti perbincangan yang terperinci berhubung kelulusan ganja sebagai rawatan alternatif.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata dia tidak mahu melihat Malaysia ketinggalan dalam membincangkan isu kajian penggunaan ganja dalam perubatan hanya disebabkan ia dianggap isu sensitif.

Syed Saddiq berharap kerajaan boleh mengadakan satu jawatankuasa khas yang diwakili oleh pelbagai kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu.

Lebih 40 negara telah meluluskan penanaman, penggunaan dan penjualan hemp (ganja industri) atau ganja perubatan (medical marijuana) termasuk Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Argentina dan Denmark.

Pada 26 Disember 2018, Kerajaan Thailand meluluskan pindaan terhadap undang-undang narkotik negara itu yang menyaksikan penggunaan produk ganja dan ketum untuk tujuan perubatan tidak lagi menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang.

Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2 Disember tahun lalu telah “mengklasifikasikan semula kanabis sebagai “dadah yang kurang berbahaya.”

Sidang CND ke-63 di Vienna, Austria bersetuju menerima usul untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

Pun begitu, Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan pemilikan ganja dengan berat 200 gram boleh membawa hukuman mati. Mk

Ganja rawat tikus Alzheimer: Respon positif – penyelidik UPM


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ganja rawat tikus Alzheimer: Respon positif – penyelidik UPM

Buat kerja, jangan bagi alasan – Tok Mat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker