Cadangan Calon UMNO PRU-15 Bawah Umur 65 Tahun, Panglima Kanan Zahid Sedia Berehat
IPOH – UMNO tidak pernah menyekat calon dalam kalangan pemimpin muda sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU).
Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, malah UMNO menyambut baik gerakan dicetuskan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahukan calon PRU akan datang mesti berusia di bawah 65 tahun.
Menurutnya, bagaimanapun perlu ada kombinasi antara calon muda dan calon berusia yang berpengalaman menjadi wakil rakyat.
“Baguslah (calon PRU bawah 65 tahun), jadi orang-orang macam saya bolehlah berehat. Tak payah buat kerja lagi. Kita memang menggalakkan orang muda, tokoh muda yang ada kelebihan dari segi fizikal, mental. Tapi ada kekurangannya. Pengalamannya tidak boleh dibandingkan dengan orang yang lama.
“Jadi, bagi saya apa yang penting ialah sumbangan yang dapat diberikan oleh seseorang tanggungjawab diberikan kepadanya sebagai wakil rakyat,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Menandatangani Perjanjian Program Belajar Secara Digital di antara Taj International College (TIC) bersama lapan agensi di Dewan Bankuet TT, TIC di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas lapan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 1 April lalu menuntut penambahbaikan dalam menyuburkan amalan demokrasi di negara ini termasuk had umur calon ahli Parlimen di negara ini disyorkan tidak melebihi 65 tahun.
Lapan pertubuhan meliputi gabungan generasi baharu itu ialah Gerakan Belia 4B Malaysia, Keilmuan Nasional, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Majlis Belia India Malaysia dan Majlis Belia Hindu Malaysia, Majlis Belia Negeri Perak, Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima).
ARTIKEL BERKAITAN:8 NGO tuntut had umur ahli Parlimen tidak lebih 65 tahun
Tajuddin berkata, UMNO banyak memberi ruang orang baharu menjadi wakil rakyat, pemimpin, menteri, Exco dan sebagainya.
“Selama hari ini kalau dilihat rekod, banyak tokoh muda yang diberi peluang dan kesempatan. Ada yang berjaya ada yang tidak berjaya.
“Kalau kita tengok sejarah, Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik umur 30-an jadi Ketua Menteri, Tan Sri Mohd Isa Samad jadi Menteri Besar Negeri Sembilan umur 20-an, Datuk Seri Najib Tun Razak jadi Menteru Besar Pahang umur 20-an,” katanya.
Katanya, kombinasi di antara tenaga muda dan pemimpin berusia yang berpengalaman masih diperlukan untuk mentadbir negara.
You must be logged in to post a comment.