Darurat: Ke mana Muhyiddin belanjakan duit negara RM600b?


Rakyat mula mempersoalkan niat sebenar kerajaan melaksana proklamasi darurat apabila perbelanjaan besar kerajaan tiada penjelasan sewajarnya, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Razlan Rafii.

Katanya, “ketidakyakinan” terhadap alasan yang diberikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkenaan soal Proklamasi Darurat dapat dilihat melalui komen netizen atau warga maya di media sosial.

Jelasnya ada banyak alasan diberikan Muhyiddin termasuk pengambilan hospital swasta dan lain-lain berkenaan tatacara bagi menyelesaikan wabak Covid-19 itu yang dilihat tidak masuk akal bagi pemikiran rakyat yang waras.

Ordinan baru beri kuasa PM guna dana tanpa lalui legislatif

“Rakyat makin nampak jelas alasan ini tidak logik kerana kemudahan hospital, tentera dan lain-lain sudah boleh digunakan tanpa isytihar darurat.

“Rakyat faham bahawa Darurat Perikatan Nasional (PN) dilakukan hanya kerana mahukan kerajaan ini kekal berkuasa tanpa berhadapan dengan pihak pembangkang di Parlimen.

“Mendaulatkan undang-undang adalah kepercayaan dan keyakinan bahawa Perlembagaan negara mesti di patuhi dan ditaati. Apabila darurat dilaksanakan, Perlembagaan secara langsung telah digantung, kerajaan tidak yakin dengan apa yang tertulis didalam Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hendak belanja apa tanpa kelulusan Parlimen? soal Shahril

Semalam, Muhyddin Yassin memberi jaminan bahawa tiada motif jahat di sebalik pengisytiharan darurat seperti beberapa kebimbangan dibangkitkan sejak kebelakangan ini.

Perdana menteri berkata pengisytiharan tersebut dilakukan dengan tujuan utama membendung penularan pandemik Covid-19 serta mempercepatkan langkah perundangan berkaitan pengurusan wabak itu.

“Ini merangkumi penggunaan aset hospital swasta, mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan menggunakan sumber hospital swasta bagi merawat pesakit Covid-19.

“Jadi, sila yakin bahawa tidak ada motif jahat di sebalik pengisytiharan darurat ini,” katanya ketika berucap pada sesi dialog bersama industri anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Razlan berkata, kepercayaan rakyat bukan boleh dipaksa-paksa dan rakyat merasakan mereka ditipu apabila perdana menteri memberikan alasan kebudak-budakan.

Katanya, rakyat Malaysia tidak ada tempat mengadu, wakil rakyat sudah tidak berfungsi kerana wakil rakyat kini mulutnya telah ditutup.

“Dalam jangkamasa darurat di lakukan, RM600,000,000,000.00 atau RM600 billion telah dibelanjakan.

“Rakyat hanya mengetahui angka ini, tidak ada siapa yang memberi penjelasan malah apabila Parlimen di gantung, setiap perbelanjaan boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa ada tatacara yang jelas.

“Kerajaan PN hanya memberi angka tanpa pecahan. Kerajaan PN dikatakan melaksanakan Perolehan Kerajaan sesuka hati, kepada mereka yang mempunyai kepentingan.

“Ada yang bertanya apa dia ‘jana wibawa’ atau nama-nama kontrak yang sedang berlegar diagih-agihkan dikalangan mereka yang punyai kepentingan rapat dengan kerajaan PN. Di mana untuk bertanyakan soal ini?” kata Razlan lagi.
Mk

Kita bukan junta, Tok Mat bidas pindaan boleh guna dana kerajaan tanpa kelulusan Parlimen

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker