Sedialah, boleh jadi ini pertemuan terakhir kita…


AKU datang lagi! Bersyukurlah engkau jika dapat bertemu denganku. Itu tandanya, usiamu masih panjang. Masih diberi kesempatan bertemu denganku.

Berzikirlah engkau jika masih mampu bernafas tatkala aku hadir. Bersiap sedialah juga, mungkin boleh jadi ini pertemuan kita yang terakhir.

Datangku membawa seribu keberkatan. Dilimpahi kerahmatan. Datangku membawa syariat, terkandung 1,001 hikmah. Tibaku membawa kemuliaan berlipat kali ganda.

Oleh itu, jangan engkau sia-sia kan kehadiranku. Aku menjenguk tidak lama. Hanya sebulan, setahun sekali sahaja.



Aku sedih melihat segelintir daripada umat Adam. Tatkala aku datang menjenguk, mereka sibuk meraikanku. Ke hulu ke hilir, membeli pelbagai persiapan. Risau jika si tukang jahit menutup tempahan, gusar jika makanan ditempah kehabisan.

Ada yang sibuk mengunjungi pusat beli-belah. Membeli keperluan serba baru. Jika lambat, takut pakaian kehabisan saiz dan warna disukai. Tambah bahaya apabila bersesak dalam lautan manusia tatkala wabak penyakit sedang menyerang dunia. Aduhai…

Ada pula yang bertungkus-lumus. Menyediakan keperluan untuk sambutan selepas tamatnya kehadiranku. Bersengkang mata membuat kuih, menjahit baju baru. Bertukar perabot, bahkan kenderaan baru? Ah, jangan terasa hati dengan contoh yang aku sebutkan tadi.

Kadangkala aku bertanya, adakah kehadiranku untuk kalian bersuka ria meraikannya?



Sedangkan aku rindukan nyanyian kalian memuji-muji yang Maha Esa. Aku mahu lihat waktu kalian lebih banyak dihabiskan bermuhasabah. Menyanyikan alunan daripada kalam suci yang diturunkan sewaktu hadirnya aku.

Ingatlah, datangku bukan selalu. Tibaku hanya sementara. Datangku seperti seribu bulan. Hadirku membawa keampunan.

Boleh jadi ketika aku tiba, ia pertemuan terakhir kita. Maka, gunakanlah waktu kedatanganku sebaik-baiknya. Amal ibadatmu akan berganda sewaktu aku tiba.

Hadirku berupa rahmat dari Tuhan. Kerana itu, carilah bekalan akhirat secukupnya. Luruskan hati, insafi diri, mengabdi pada Ilahi. Lupakan seketika keperluan duniawi.



Siapa aku?

Aku bernama RAMADAN kini sudah tiba.

Sudah bersediakah kalian untuk menemuiku?

Diabetes dan Ramadan, cabaran atau peluang?



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker