Rakaman suara mirip Muhyiddin, KPN perlu nasihat PM buat laporan polis


Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador perlu menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat laporan polis terhadap penularan rakaman audio mirip suara Perdana Menteri itu yang didakwa mengandungi tawaran jawatan kepada pemimpin UMNO.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A’zlan Abu Bakar berkata, adalah tidak wajar gesaan itu hanya ditujukan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sahaja.

“Tidak wajar bagi seorang KPN hanya menggesa Anwar dan Ahmad Zahid membuat laporan polis, seolah-olah terdapat bukti jenayah di dalam rakaman tersebut.

“Sedangkan rakaman audio yang mirip suara Muhyiddin dipercayai wujud unsur tawaran jawatan menteri dan pengerusi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dalam kalangan ahli-ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

“Keutamaan laporan polis itu seharusnya diberikan kepada kes Muhyiddin kerana melibatkan pemimpin nombor satu Malaysia.

“Kesannya akan mencalarkan imej integriti seluruh badan berkerajaan dan negara terutamanya di mata dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Abdul Hamid menasihatkan Presiden UMNO dan Presiden PKR itu membuat laporan polis berhubung rakaman perbualan audio telefon yang tular di media sosial sejak Rabu lalu.

Abdul Hamid berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan daripada kedua-dua individu berkenaan selain siasatan akan dilakukan sekiranya perkara tersebut mengganggu-gugat keamanan orang ramai.

Susulan penularan rakaman audio Anwar dan Ahmad Zahid sejak beberapa hari lalu kini timbul semula rakaman audio mirip suara Muhyiddin di media sosial yang antara lain tawaran jawatan menteri dan pengerusi GLC kepada ahli Parlimen UMNO dengan syarat menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dalam perkembangan sama, A’zlan turut memberi amaran kepada anggota UMNO termasuk Ahmad Zahid sendiri agar tidak mengikut telunjuk parti lawan supaya membuat laporan polis.

“Seandainya kami ketahui perkara ini, kami Pemuda UMNO Petaling Jaya akan menghalangnya walau terpaksa berdepan dengan pihak berkuasa sekali pun. Kita kena belajar daripada pengalaman di mana institusi Presiden UMNO ini tidak pernah terlepas daripada fitnah dan serangan parti lawan untuk melemah dan menghancurkan UMNO itu sendiri.

“Jerat tak pernah melupakan pelanduk tetapi pelanduk melupakan jerat. Inilah yang berlaku bila ada asakan untuk Ahmad Zahid ditekan untuk membuat laporan polis.

“Tiada kesalahan pun jika kita benar-benar mendengar perbualan rakaman itu,” katanya lagi. MG

Rakaman suara mirip Muhyiddin dakwa Agong lebih suka Dr M kekal PM – MK

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker