Suami isteri ditemui mati dalam rumah
KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Seorang lelaki tempatan ditemui mati bersama isterinya seorang warga Thailand di sebuah rumah sewa di Bangsar di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mayat lelaki berusia 46 tahun dan wanita berusia 38 tahun itu ditemui seorang ejen hartanah apabila panggilan telefonnya tidak dijawab oleh pasangan itu, sebelum mengambil keputusan pergi ke kediaman berkenaan.
“Ejen hartanah itu dilaporkan mengambil kunci rumah daripada pemilik sebelum pergi ke kediaman yang disewakan kepada mangsa itu. Mangsa menyewa rumah berkenaan sejak 6 April lalu,” katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Anuar berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah teres tiga tingkat itu, ejen berkenaan menemui pasangan itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam bilik tidur sebelum menghubungi polis.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati pasangan berkenaan membakar arang di dalam bilik, menutup pintu dan tingkap dan terus tidur,” katanya.
Beliau berkata, pegawai perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia antara jam 6 dan 7 pagi berkemungkinan akibat sesak nafas kerana menghidu asap.
“Turut ditemui di tempat kejadian adalah satu nota dipercayai ditulis mangsa untuk keluarga.
“Kita juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini selain terdapat saksi yang rapat dengan pasangan terbabit mendakwa mangsa tidak mempunyai musuh,” katanya.
Anuar berkata, mayat pasangan berkenaan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).