Hati-hati, organ inilah yang banyak menjerumuskan manusia ke dalam NERAKA


“Sesiapa yang mampu menjaga lidahnya, nescaya ia akan selamat” simboliknya, hadis Nabi s.a.w. ini jelas menyatakan, lidah yang dipelihara dengan sebaiknya, memainkan peranan yang sangat penting, dalam memastikan kehidupan yang sejahtera.

Kita sedia maklum, lidah merupakan organ yang sangat bahaya dalam dimensi kehidupan kita bermasyarakat.

Pelbagai kesalahan terkait rapat dengan organ ini, hinggakan robohnya tembok institusi keluarga, masyarakat dan sesebuah tamadun, adalah berpaksikan pada lemahnya untuk kita bersikap wajar dalam berbicara.

Lihat sahaja petikan ayat al-Quran dari surah al-Baqarah ayat 217, yang menyatakan,

“Memfitnah itu lebih besar daripada kesalahan membunuh.”

Bukankah ini memberi justifikasi yang sangat jelas, peranan yang dimainkan oleh lidah, melangkaui organ yang lain.

Bukan itu sahaja, bahkan Abu Bakar as-Siddiq turut menyatakan,

“Organ inilah yang mampu menjerumuskan aku ke dalam pelbagai kesalahan.”

Maka dengan itulah, beliau gemar mengulum sesuatu di dalam mulutnya, agar dapat mencegah dirinya, dari berbicara sesuatu yang tidak perlu.

Keutamaan menjaga lidah ini juga, ada diriwayatkan dalam satu kisah. Pada suatu hari, Muaz b. Jabal r.a meminta nasihat daripada Baginda s.a.w. Lalu Baginda s.a.w. mengatakan kepada Muaz,

“Sembahlah Allah, seakan-akan engkau melihat Nya, dan anggaplah diri mu sebagai orang yang akan mati.”


Berhati-hati apabila bicara

Kemudian Baginda s.a.w. menambah lagi,

“Jika engkau mahu, aku ingin memberitahu kepada mu, tentang sesuatu yang harus, lebih engkau jaga (sambil menunjuk ke arah lidahnya).”

Mengapa Nabi s.a.w. dan para sahabat begitu menekankan penjagaan lidah? Ini kerana lidah, organ yang sangat luar biasa dalam mempengaruhi segala tindakan manusia.

Tidak terkecuali dalam aspek menyimpan rahsia, menjaga dan membuka aib seseorang. Kerana itulah kita mungkin pernah mendengar ungkapan orang Melayu,

“Biar pecah di perut dan jangan pecah di mulut.”

Rahsia adalah sesuatu perkara yang tersembunyi, dan hanya diketahui oleh seorang atau segelintir. Islam melihat rahsia sebagai satu perkara, dari perihal amanah yang perlu dijaga.


Ramai penghuni neraka adalah disebabkan lidah dan kemaluan yang tidak dijaga.

Ini bermakna apabila kita membuka rahsia, secara tidak langsung, kita telah mengkhianati amanah yang diberikan. Dalam Islam, antara perkara yang menjadi laknat Allah, mereka yang bersikap pecah amanah.

Hari ini berapa ramai yang tidak mampu menjaga lidahnya dari percakapan yang sia-sia dan yang menyakitkan hati. Ada sahaja perkara yang dipertuturkan sehingga melukakan hati seseorang. Perbuatan cela ini bukan sahaja mengundang kepada pergaduhan, permusuhan malah boleh jadi juga pembunuhan.

Dalam sebuah hadis, dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“amal yang paling banyak memasukkan manusia ke syurga ialah takwa kepada Allah dan akhlak yang baik” Baginda di tanya lagi, “apa penyebab ramai yang masuk neraka?” Jawab Baginda s.a.w. “mulut dan kemaluan”. HR Tirmizi

Justeru jelas kepada kita bahawa dengan lidah yang tidak terkawal inilah yang banyak menjerumuskan manusia kepada lembah kehinaan dan secara langsung menambahkan bilangan penghuni neraka. Wallahu a’lam. Utv

Kenapa kamu masuk neraka?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker