Pemilihan Umno sebelum PRU bawa risiko perpecahan’

 

Pimpinan akar umbi Umno berbeza pandangan mengenai desakan agar parti itu mengadakan pemilihan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Wan Hassan berkata, sebahagian mereka percaya parti itu akan berpecah sekiranya pemilihan diadakan sebelum PRU.

“Secara peribadi saya tidak menolak pendapat yang memohon pemilihan diadakan sebelum pilihan raya kerana ada sebilangan akar umbi yang tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15.

“Namun demikian, saya juga tidak menolak pendapat mereka yang mahukan pemilihan ditangguhkan selepas PRU15.

“Bagi mereka, kita sedang mempersiapkan jentera pilihan raya dan pemilihan parti akan pasti merencatkan persediaan Umno. Selain itu, ia bakal membawa kepada risiko perpecahan dalaman parti terutamanya yang gagal mempertahankan jawatan,”

Wan Agyl diminta mengulas sejauh mana akar umbi mahu pemilihan parti diadakan secepat mungkin untuk menyelesaikan isu-isu dalaman parti.

Mengulas lanjut, Wan Agyl berkata sudah pasti risiko perpecahan kepada Umno hanya akan memberi manfaat kepada parti lawan.

“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang telah diberi mandat oleh akar umbi dan perwakilan perlulah memahami dan mengenal pasti isu utama yang membawa kepada keberantakan dalaman parti dan membuat keputusan demi kebaikan parti biarpun ia merupakan satu keputusan yang sukar dan radikal.

“Yang penting sekali, MKT mestilah tidak dipengaruhi mana-mana pihak yang membawa agenda peribadi di dalam membuat keputusan demi kelangsungan perjuangan Umno,”

‘Umno dalam dilema’

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros ketika dihubungi berkata Umno kini berada dalam dilema untuk mengadakan pemilihan.

Katanya, langkah mengadakan pemilihan sebelum PRU akan mengundang risiko kerana parti akan dikemudi kepimpinan baru.

“Jika ini berlaku, Umno akan berdepan dengan beberapa risiko termasuklah risiko pimpinan kluster menteri ramai yang akan kalah. Selain risiko pimpinan yang kalah di banyak peringkat akan ‘dipinang’ dan ‘disunting’ oleh Bersatu. Situasi yang akhirnya akan melemahkan Umno,”katanya.

Bagaimanapun, katanya sekiranya pemilihan parti diadakan selepas PRU, Umno tetap berisiko.

“Pemilihan boleh diadakan selepas pilihan raya, namun presiden mesti bukan calon perdana menteri. Menuntut presiden untuk berjiwa besar dan meletakkan kepentingan parti lebih dari segala-galanya.

“Kalau tak, belum masuk bertanding PRU lagi, kami dah tahu kami akan kalah kalau presiden sedia ada adalah merupakan tawaran/calon perdana menteri dari Umno-BN.

“Umno kena melepasi ‘tembok halangan’ ini dahulu sebelum mampu merangka strategi dan taktikal yang lebih besar untuk berdepan pilihan raya,” katanya

Sebelum ini, beberapa tokoh di dalam Umno, seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Shahidan Kassim dan Annuar Musa membuat gesaan agar pemilihan Umno tidak ditangguhkan, sebaliknya dijalankan mengikut jadual asal, iaitu pada Jun tahun ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Reezal Merican Naina Merican berkata pemilihan parti perlu diadakan secepat mungkin kerana ia adalah satu-satunya jalan keluar yang demokratik.

Selain itu terdapat gesaan lebih keras agar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan presiden.

Kalau anda terlepas…

Bekas presiden Umno, Najib Razak pula berpendapat pemilihan sebelum PRU-15 boleh membawa keretakan dan memecah-belahkan parti selain membolehkan calon yang kalah ‘dicuri’ oleh parti lain.

Pemilihan Umno perlu diadakan setiap tiga tahun sekali mengikut perlembagaan parti itu.

Kali terakhir Umno mengadakan pemilihan adalah pada 30 Jun 2018, apabila Zahid mendapat kemenangan selesa menewaskan Khairy dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden Umno.

Sebelum ini pengerusi jawatankuasa pemilihan Umno, Mohamad Hasan berkata pemilihan parti itu hanya akan diadakan sekiranya tidak ada PRU diadakan tahun ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker