‘Pas-UMNO jangan sia-siakan air mata ahli’

SHAH ALAM – Penyatuan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional bukan sekadar penyatuan politik sebaliknya penyatuan dua parti teras politik Melayu, Islam yang bermusuh selama 60 tahun.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii sehubungan itu berkata, Pas dan UMNO tidak boleh mensia-siakan linangan air mata ahli-ahli parti yang bangkit untuk melihat penyatuan dua parti itu.

Menurutnya, penyatuan itu menjadi nyata setelah Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kalau tidak ada peristiwa kita (Pas dan UMNO) kalah 22 bulan tempoh hari, saya percaya Pas dan UMNO sampai sekarang tidak bersama. Jadi inilah rentetan sejarah yang saya hendak kongsi.

“Kita tidak boleh mensia-siakan linangan air mata orang yang bangkit untuk melihat penyatuan Pas dan UMNO,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-246 bertajuk ‘PN atau MN: Mana satu pendirian Pas’ disiarkan secara dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Menuju wajah baru Muafakat Nasional 2.0

Wacana turut menampilkan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nazir Helmi dan Penganalisis Keselamatan dan Politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin juga sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Mohd Razlan yakin dengan mengekalkan gabungan dua parti berkenaan yang mempunyai jumlah ahli yang ramai, Pas dan UMNO mampu mentadbir negara mengikut acuan sendiri.

“Pas ada lebih kurang 1.5 hingga 2 juta ahli, UMNO ada 3 juta ahli. Orang di bawah mahukan (Pas dan UMNO) kekal duduk dalam satu gabungan untuk kita mentadbir negara ini dengan acuan kita.

“Itu yang penting. Jadi maksudnya untuk pilihan raya nanti kita pun sudah bincang dalam Muafakat Nasional, berkenaan kerusi, bagaimana mahu merencana termasuk bergerak ke hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin permuafakatan Muafakat Nasional itu akan diteruskan malah turut percaya banyak pihak mahu kedua-dua parti itu terus berada dalam satu gabungan Muafakat Nasional.

“Saya percaya pujukan, rayuan untuk kita tetap di dalam satu gabungan Muafakat Nasional itu diteruskan di peringkat Pas, UMNO dan orang-orang Melayu serta badan bukan kerajaan (NGO) semua,” katanya.

 

Annuar cadang tubuh Muafakat Nasional 2.0

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker