Diabetes dan Ramadan, cabaran atau peluang?
BEBERAPA hari lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan yang sentiasa dinanti nantikan oleh umat Islam. Keistimewaan bulan ini adalah bulan yang penuh berkat dan dipenuhi dengan amal ibadat termasuk ibadat berpuasa disiang hari dan Solat Tarawih dimalam hari. Di bulan Ramadhan ini juga, umat Islam berebut menambah amal ibadat seperti bersedekah, membaca al Quran dan lain lain ibadat.
Pada asasnya, berpuasa di bulan Ramadan bukanlah untuk memberikan kemudaratan kepada umat Islam tetapi memberi ruang rehat kepada anggota badan setelah sekian setahun makan disiang hari. Walaubagaimanapun, ada beberapa sebab yang boleh membenarkan umat Islam untuk tidak berpuasa contohnya sewaktu bermusafir atau pesakit yang mempunyai penyakit tertentu yang menyebabkan kesukaran untuk berpuasa atas nasihat doktor.
Umat Islam yang tidak sihat adalah dibenarkan untuk tidak berpuasa termasuk pengidap diabetes. Walaupun begitu kajian menunjukkan kebanyakan umat Islam yang menghidap diabetes memilih untuk berpuasa diatas berbagai alasan termasuklah agama, budaya dan sosial Semasa bulan Ramadan, seluruh umat Islam di dunia akan berpuasa selama 29 hingga 30 hari bermula dari sebelum terbit matahari sehinggalah terbenam matahari.
Di Malaysia, waktu berpuasa Ramadan adalah di antara 12 hingga 14 jam sehari. Waktu berpuasa puasa yang panjang ini adalah mencabar bagi umat Islam terutamanya penghidap diabetes. Semasa berpuasa mereka ini tidak dibenarkan untuk mengambil makanan, minuman dan juga ubatan.
Kajian menunjukkan penghidap diabetes berisiko mendapat hipoglisemia (paras gula di dalam darah teramat rendah), hiperglisemia (paras gula didalam darah teramat tinggi), dehidrasi (kekeringan air didalam badan) dan koma. Mengikut kajian, penghidap diabetes berisiko dua kali ganda untuk mendapat serangan hipoglisemia. Kajian juga menunjukkan sekiranya penghidap diabetes diserang hiperglisemia, risiko dimasukkan ke dalam hospital adalah setinggi lima kali ganda bagi penghidap diabetes jenis 2 dan tiga kali ganda bagi penghidap diabetes jenis 1.
Jadi bolehkah golongan ini berpuasa sedangkan mereka berisiko diserang hipoglisemia dan hiperglisemia? Bilamana penghidap diabetes ini memilih untuk tidak berpuasa disebabkan risiko, istilah darurat sentiasa dijadikan sebagai alasan. Memandangkan berpuasa adalah suatu tanggungjawab dalam agama Islam, elok sekiranya istilah darurat tidak dijadikan sebagai alasan untuk tidak berpuasa.
Bagi pesakit diabetes, ia boleh dibahagikan kepada penghidap diabetes ialah puasa dengan risiko amat tinggi, risiko tinggi dan risiko sederhana atau rendah. Penghidap diabetes berisiko amat tinggi adalah penghidap yang mempunyai hipoglisemia serta darah teramat berasid semasa tiga bulan sebelum berpuasa, sering mengalami hipoglisemia secara mendadak, menghidap diabetes jenis pertama; wanita hamil, menjalani rawatan cuci buah pinggang, sering melakukan aktiviti berat, ataupun sedang dijangkiti kuman.
Manakala, penghidap diabetes berisiko tinggi pula adalah penghidap yang sedang mengalami gangguan buah pinggang, tinggal bersendirian, warga emas yang mempunyai tahap kesihatan tidak menentu, atau kawalan gula darah sederhana. Penghidap diabetes berisiko sederhana adalah penghidap yang mempunyai gula dalam darah terkawal dengan suntikan insulin tindakan segera, manakala penghidap diabetes berisiko rendah pula adalah penghidap yang sihat dan mempunyai gula dalam darah terkawal melalui kawalan diet atau pil kencing manis.
Secara amnya penghidap kategori berisiko amat tinggi dan tinggi dinasihatkan untuk tidak berpuasa, manakala pengidap kategori sederhana boleh berpuasa dengan pemantauan rapi dari doktor dan kategori berisiko rendah boleh berpuasa tanpa mempunyai banyak masalah besar. Sekiranya penghidap diabetes ingin berpuasa, mereka hendaklah mengurangkan berlakunya risiko tersebut dengan mengawal keadaan fizikal dan paras gula dalam darah mereka. Mereka juga perlu belajar cara pemakanan dan aktiviti harian, pengubahsuaian ubat, dan tindakan yang perlu diambil sekiranya terjadi komplikasi itu.
Apa yang penting penghidap diabetes perlu sedar keadaan fizikal mereka sendiri. Mereka yang mudah memahami nasihat doktor perlu diajar menyukat paras gula sendiri di rumah. Berikut adalah tips bagaimana untuk menyesuaikan diri semasa berpuasa.
1. Jangan tinggalkan waktu bersahur tapi lewatkanlah waktu bersahur selewat mungkin sebelum waktu imsak. Ambillah karbohidrat kompleks (seperti roti, gandum,nasi) berbanding karbohidrat segera sewaktu bersahur.
2. Jangan lambatkan waktu berbuka. Ambillah 2 biji kurma terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada karbohidrat sewaktu berbuka. Hadkan pengambilan makanan yang tinggi gula dan ambillah hidangan utama hanya selepas solat Maghrib.
3. Ambillah buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi serat yang tinggi. untuk setiap hidangan utama ketika bersahur dan berbuka. Sekiranya perlu, minum malam selepas solat tarawih boleh diambil sebagai pengganti snek sebelum tidur.
4. Hadkan makanan yang bergoreng dan berlemak yang bersantan dan bergoreng dan hadkan makanan yang tinggi garam supaya risiko kekurangan air boleh dikurangkan. Minumlah air kosong yang secukupnya ketika masa tidak berpuasa. Ambillah sekurang- kurangnya 8 gelas air kosong sehari.
5. Berbukalah sekiranya ada tanda-tanda hipoglisemia dan lakukanlah senaman yang berpatutan (melakukan solat sunat Tarawih adalah salah satu senaman).
6. Jumpalah doktor untuk mendapatkan nasihat bagi mengubahsuai ubatan sewaktu berpuasa. Kebiasaannya, semasa berpuasa doktor akan menukar kekerapan pengambilan ubatan (daripada tiga kali sehari kepada dua kali sehari) serta dos dan waktu pengambilan insulin juga akan diubahsuai.
Akhir kata menghidap diabetes tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa. Semua pesakit diabetes yang terkawal digalakkan berpuasa kecuali pada keadaan yang tidak terkawal dan boleh memudaratkan pesakit. Islam sebagai agama rahmat juga memahami kondisi ini.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud , “Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
Dr Nik Nur Fatnoon Nik Ahmad
Perunding Kanan, Jabatan Perubatan, Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUMPensyarah Klinikal, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan, IIUM
Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi,Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
You must be logged in to post a comment.